Wajibkan saringan Imunodefisiensi Primer terhadap bayi baru lahir

Diposting pada

Wajibkan saringan Imunodefisiensi Primer terhadap bayi baru lahir

Wajibkan saringan Imunodefisiensi Primer terhadap bayi baru lahir

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran untuk mewajibkan saringan pemeriksaan penyakit daripada kumpulan ‘Imunodefisiensi Primer’ (PID) terhadap bayi yang baru dilahirkan.

PID atau Penyakit Lemah Daya Imun sejak lahir itu memerlukan rawatan peringkat awal dalam usaha menyembuhkan pesakit dan menyelamatkan nyawa.

Menurut Pakar Pediatrik Imunologi dan Alergi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Intan Juliana Abd Hamid, pemeriksaan sedia ada terhadap baru lahir tidak mencukupi untuk mengesan kehadiran penyakit PID ini.

“Sebenarnya memang kita patut wujudkan pemeriksaan penyakit ini, tetapi saya sarankan pada peringkat bayi yang baru dilahirkan dekat bilik bersalin.

“Buat masa ini memang dah ada pemeriksaan bayi baru lahir dekat Malaysia tetapi khusus kepada Hypothyroid sahaja jadi kita perlu tambah satu lagi untuk periksa PID,” katanya dalam temubual program Awani Pagi bersama Astro AWANI, pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemeriksaan PID terhadap bayi yang baru dilahirkan telah banyak dilaksanakan di luar negara manakala Malaysia ketika ini hanya berada pada peringkat pembangunan.

“Sekarang ini kita tidak mempunyai apa-apa, kita sangat terbatas sebab itu penting kita semua kena prihatin dan kerajaan perlu iktiraf bahawa PID adalah masalah, masalah yang kami (pakar) hadapi sekarang ini adalah mereka anggap PID adalah penyakit yang jarang berlaku.

“Apabila kita mencadangkan sesuatu mereka hanya cakap berapa pakar ada sekarang dan berapa ramai pesakit alami masalah ini, kita memang tiada nombor spesifik dan hanya bergantung kepada statistik yang lama iaitu hanya ada 50 kes dalam tempoh 20 tahun.

“Namun statistik ini digunakan daripada tahun 1980an sehinggalah 2006, jadi mereka anggap penyakit ini jarang berlaku namun sebenarnya penyakit ini banyak yang kita tidak dapat didiagnosis pada peringkat awal,” jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata terdapat beberapa peringkat masalah yang dihadapi oleh pesakit yang mengalami PID, antaranya kekurangan pakar imunologi di dalam negara.

“Malah hanya terdapat empat pakar imunologi bagi bahagian kanak-kanak dan kita tidak mempunyai pakar untuk dewasa dan ini menyebabkan masalah kepada kanak-kanak yang ada PID apabila menginjak dewasa kelak.

“Justeru itu, kita hendak masyarakat dan kerajaan mengiktiraf penyakit PID sebagai masalah dan kerjasama harus dilakukan, kesedaran harus ditingkatkan, tingkatkan sistem diagnosis serta kita mahu rawatan penyembuhan itu boleh diakses kepada semua pihak,” ujar beliau.

Beliau berkata mereka yang mempunyai penyakit PID perlu mendapatkan rawatan 'Immunoglobulin Therapy' (menggantikan antibodi ke dalam badan pesakit' setiap tiga minggu sekali dan rawatan ini perlu dilakukan seumur hidup.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.