Tony Fernandes dilantik CEO airasia.com

Diposting pada

Tony Fernandes dilantik CEO airasia.com

Tony Fernandes dilantik CEO airasia.com

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes kini turut menggalas tugas sebagai CEO airasia.com, platform e-dagang pengembaraan dan gaya hidup syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, AirAsia menyifatkan langkah itu sebagai penyusunan semula kepimpinan bagi menyokong transformasi sebagai syarikat platform pengembaraan dan kewangan serta bagi membangunkan airasia.com sebagai jenama gaya hidup.

"Fernandes akan turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com dengan matlamat untuk melantik CEO baharu yang akan melaporkan perkembangan kepada beliau apabila tiba masanya," katanya.

Turut menyertai Fernandes adalah Ketua Pegawai Komersial (CCO) kumpulan itu, Karen Chan yang bertanggungjawab menggerakkan semua peranan komersial dan berperanan sebagai CCO airasia.com serta Spencer Lee yang menggalas peranan Ketua Pegawai Operasi airasia.com dengan menguruskan portfolio perniagaan dalam talian termasuk OURSHOP, AirAsia WiFi (ROKKI), perkongsian hotel dan lain-lain, katanya.

"Seorang ketua pegawai produk untuk airasia.com juga akan dilantik untuk mengetuai pasukan produk manakala Ketua Pegawai Kejuruteraan dan Teknologi Perisian (AASET) AirAsia, Elias Vafiadis akan terus memimpin bahagian itu dan melaporkan kepada Fernandes dalam tempoh interim itu," katanya.

BACA: Jadikan Malaysia hab aeroangkasa – Tun Mahathir

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (syarikat penerbangan) AirAsia Bo Lingam telah dilantik Presiden kumpulan (syarikat penerbangan) dan turut mengetuai AirAsia SEA (sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Global Shared Services) iaitu pusat perkhidmatan bersama korporat dan sokongan kepada AirAsia, kata kenyataan itu.

"Beliau akan terus menjalankan perniagaan teras syarikat dan memacu penambahbaikan perkhidmatan pelanggan dan kecekapan kos menerusi pendigitalan dan inisiatif One AirAsia."

BACA: Tidak adil kenakan cukai sama bagi perkhidmatan berbeza – Tun Mahathir

Dalam pada itu, Aireen Omar pula dilantik sebagai Presiden kumpulan (RedBeat Ventures) dan akan mengetuai cabang modal teroka korporat.

"Menerusi peranan itu, beliau akan meninjau syarikat dan teknologi baharu untuk melonjakkan perniagaan teras AirAsia dan pada masa sama terus memantau perniagaan digital syarikat seperti BigPay, Teleport dan AirAsia BIG Loyalty," kata kenyataan itu.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.