Titah Sultan Nazrin sempena Maal Hijrah 1441

Diposting pada

Titah Sultan Nazrin sempena Maal Hijrah 1441

Merdeka

TITAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena majlis sambutan Maal Hijrah 1441 “Negara Rahmah – Ummah Sejahtera” peringkat negeri Perak Darul Ridzuan pada 1 September 2019 di Ipoh.


Hari ini, lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia menyambut tahun 1441 Hijrah.

Hijrah melambangkan keikhlasan dan pengabdian seorang hamba demi keimanan dan keyakinan kepada ALLAH dan syariat Nya. 

Para muhajir telah meninggalkan tanah air, kekayaan, keluarga dan sahabat kerana menyahut seruan ILAHI dan Rasul Nya. 

Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 20 surah At-Taubah, bermaksud:

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan ALLAH, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi ALLAH. 

"Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan.”  

2. Peristiwa hijrah berlaku 13 tahun setelah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam diangkat menjadi Rasul. 

Dalam tempoh 13 tahun tersebut, 4,780 ayat, mengandungi hampir dua pertiga kandungan Al-Quran telah diturunkan di Mekah. 

Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah, disusun kemudiannya di dalam 86 surah yang dikenali sebagai Surah Makkiyyah. 

Ayat-ayat Makkiyyah pada umumnya mengandungi hal-hal berhubung dengan keimanan, ancaman dan pahala, kisah-kisah umat terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti.  

3. Ayat-ayat Makkiyyah, yang memahat asas keimanan yang kukuh dalam jiwa para sahabat dan pengikut, telah membantu usaha-usaha Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, untuk memulakan babak baharu, sebaik Baginda bertapak di bumi Madinah; beralih peranan daripada menyebarkan dakwah Islamiah kepada peranan seorang pemimpin dan negarawan, yang mengasaskan sebuah pemerintahan dan penubuhan negara Islam. 

Seribu empat ratus lima puluh enam (1,456) ayat al-Quran kemudiannya diturunkan di Madinah, dikenali dengan ayat-ayat Madaniyyah, yang disusun di dalam 28 surah, mengandungi hukum-hukum, merangkumi hukum adat atau hukum duniawi, seperti hukum kemasyarakatan, hukum ketatanegaraan, hukum perang, hukum antarabangsa dan hukum antara agama.  

Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah telah dijadikan asas rujukan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam untuk melaksanakan pemerintahan negara-kota Madinah berteraskan undang-undang.

4. Pemerintahan di Madinah berteraskan undang-undang bertulis yang dikenali sebagai Piagam Madinah. 

Piagam tersebut merupakan perlembagaan bertulis pertama yang didokumenkan berbentuk undang-undang perlembagaan (constitutional law), menjadi contoh kaedah penyelesaian konflik menurut yang dianjurkan oleh Islam, dengan memberikan keutamaan kepada matlamat pembangunan ummah yang lebih besar, mengimbangkan kepentingan dan keperluan pelbagai pihak secara adil – secara saksama, daripada sekadar memenuhi kepentingan sesuatu pihak dan keperluan seseorang individu. 

5. Peristiwa hijrah telah membuka lembaran sejarah teragung, memperkembangkan peradaban minda. 

Islam telah meluncurkan perubahan radikal dalam seluruh aspek kehidupan insan dan masyarakat, memperkenalkan peraturan dan disiplin hidup, mengikut lunas syariat. 

Islam memperindah tugas dan tanggungjawab manusia yang melambangkan khaira ummah, merangkumi pengurusan ibadah, munakahat, muamalat, jenayah dan pelbagai perkara lagi.

6. Lahirlah komuniti ummah dengan titik penyatupaduan, terbangunlah sebuah masyarakat Islam yang hidup secara rukun, dan turut menjalinkan hubungan harmoni dengan orang-orang bukan Islam. 

Ummah di negara-kota Madinah di kenali sebagai umattan wahidatan, iaitu umat yang menekankan kesatuan dan hubungan rapat. 

Struktur berpuak dalam masyarakat Arab, diubah suai kepada satu bentuk kesatuan sosial yang baharu, berdasarkan prinsip-prinsip petunjuk daripada ILAHI, kenabian dan syariah. 

Sistem politik kenabian yang berasaskan Imam dan ummah telah berjaya menyatupadukan ummah dalam semua aspek bernegara, merangkumi sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial, lalu tercipta zaman pencerahan (renaissance).

7. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengutamakan usaha menyatukan penduduk Madinah agar dapat tinggal secara aman dan rukun, dalam semangat yang menerima hakikat terdapatnya perbezaan antara pelbagai kumpulan, puak dan kabilah. 

Mesej penyatuan yang dipelopori oleh Baginda berjaya menyatukan penduduk Madinah, mengharmonikan hubungan antara pelbagai keturunan, kaum dan agama dalam semangat saling menerima – saling mengenali – saling menghormati. 

Baginda memperkenalkan nilai-nilai murni, tidak membezakan penduduk Madinah berdasarkan kabilah, mengikis sikap berpuak-puak yang memikirkan kabilah masing-masing lebih baik daripada kabilah pihak lain. 

Di samping mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, dua puak utama, Aus dan Khazraj, yang bermusuhan dan berperang sejak bertahun lamanya, berjaya disatukan. 

Islam lalu dihormati kerana mengutamakan perdamaian dan mengamalkan sifat inklusif, yang memberikan keadilan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kesaksamaan keadilan kepada yang bukan Islam. 

8. Penduduk Madinah apabila berjaya disatukan, membolehkan Baginda dan para sahabat menumpukan perhatian, fikiran, tenaga dan masa untuk melaksanakan tugas lebih besar, menyebarkan ajaran Islam ke kawasan yang lebih luas dengan menjadikan pemerintahan dan kerajaan Madinah sebagai contoh teladan.

9. Pada 31 Ogos 1957, negara kita berhijrah daripada sebuah tanah jajahan kepada sebuah negara merdeka.  Semalam kita, menyambut ulang tahun kemerdekaan tanah air kali ke enam puluh dua. 

Bumi ini, dengan penentuan ILAHI dikurniakan dengan pelbagai kekayaan sumber termasuk sumber manusia. 

Dengan penentuan ALLAH jua, ketika kemerdekaan dituntut, bumi ini dihuni oleh penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menganuti pelbagai agama, menguasai pelbagai bahasa, mengamalkan pelbagai budaya. 

Sejarah menunjukkan, pada bila-bila masa, dan di mana sahaja, akan terdapat suara ultra bangsa dan pendirian ekstremis agama.   

Barisan pemimpin begitu juga penduduk di negara ini, 62 tahun yang lalu, mempunyai opsyen, sama ada  memilih berperang saudara sesama sendiri terlebih dahulu, untuk menentukan siapa yang lebih dominan, atau memilih menjalin hubungan kerjasama, dalam semangat satu warga-satu negara, secara bersama memperjuangkan kemerdekaan. 

Alhamdulillah, dengan petunjuk dan rahmat ILAHI juga, majoriti besar penduduk di bumi ini, memiliki hikmah dan kebijaksanaan, berpendirian moderat dan bersifat rasional, memilih untuk menjalin hubungan kerjasama.

10. Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya, adalah realiti dunia, mencerminkan kebesaran ciptaan ILAHI. Firman ALLAH dalam ayat 13 Surah Al-Hujuraat, bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. 

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.  Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” 

11. Dunia ciptaan ILAHI ini diwujudkan dengan kepelbagaian, diciptakan umat yang pelbagai, sebagai salah satu daripada tanda-tanda kebesaran ILAHI.  Ayat 22 dalam Surah Ar Ruum, bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa mu dan warna kulit mu. 

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”

12. Para ulama, bersama para umara, dengan persetujuan majoriti penduduk, dalam semangat saling membantu, telah merangka formula pembentukan sebuah negara merdeka di bumi ini, berlandaskan semangat perangkuman (inclusiveness). 

Hakikatnya, setiap penduduk di bumi ini, diterima sebagai hamba Allah yang wajib diberikan ruang untuk bertapak, dan langit untuk bernaung. 

Budaya musyawarah – budaya berunding – budaya berkonsultasi, dipilih daripada budaya saling bermusuh – saling menyelar – saling mencela. 

Permuafakatan penduduk pelbagai kaum – pelbagai agama menjadi tonggak dan teras kekuatan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka lagi berdaulat, disusuli kemudiannya dengan penubuhan Malaysia. 

Permuafakatan penduduk pelbagai kaum dan keharmonian hubungan penduduk pelbagai agama, malangnya telah digugat ketika tercetusnya peristiwa perselisihan kaum pada 13 Mei 1969. 

Akibatnya, sebahagian penduduk saling mencurigai lalu muncul untuk seketika tembok pemisah, yang menjejaskan hubungan muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum – pelbagai agama. 

Kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab barisan pemimpin pasca peristiwa 13 Mei, telah dapat mengembalikan kerukunan dan keharmonian hubungan, lantas membolehkan negara memberikan tumpuan kepada usaha-usaha pembangunan, hingga Malaysia muncul sebagai sebuah negara sedang membangun yang progresif, dicontohi dan dihormati di peringkat antarabangsa.

13. Adama Dieng, Penasihat Khas Pencegahan Genosid kepada Ban Ki-moon, di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengingatkan, bahawa jenayah kebencian didahului dengan ucapan bernada kebencian. 

Genosid kaum Tutsi di Rwanda bermula dengan ucapan kebencian, Holocaust tidak bermula di bilik gas beracun, tetapi bermula jauh lebih awal dengan ucapan kebencian, begitu juga keadaan yang dihadapi orang-orang Arab di Palestin, orang-orang Rohingya di Myanmar, dan serangan masjid di New Zealand, setiap satunya dimulai dengan ucapan kebencian. 

Tidak terkecuali, walaupun berskala kecil, peristiwa 13 Mei 1969, merupakan bom jangka yang meletup, didahului ucapan-ucapan bernada kebencian.

14. Setelah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, kebelakangan ini suara menyemai kebencian antara kaum – antara agama semakin diucapkan. 

Suhu politik di dalam negara pasca Pilihan Raya Umum keempat belas, semakin hari semakin dipanaskan, dilakukan oleh pemimpin politik daripada kedua-dua pihak, baik yang menang begitu juga yang tewas. 

Sifat-sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik, telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan warga. 

Perbuatan ‘mengata dulang paku serpih’ melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara.

15. Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilaporkan dilakukan, antaranya, meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial, termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. 

Sebahagian besar daripada perbuatan-perbuatan tersebut dilaporkan dilakukan kerana upahan.  

Bara perkauman semakin disemarakkan, api permusuhan antara agama semakin dinyalakan. 

Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka, yang menantikan masa untuk meletup.

16. Kebenaran fakta dan kesahihan berita tidak dipentingkan, di sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri, termasuk dalam kalangan terpelajar. 

Minda warga semakin diracuni, hinggakan warga menjadi terlalu taasub, semakin berminda tertutup. 

Setiap insiden, daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah, atau seorang majikan di pejabat, warna baju yang dipakai oleh pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama.

Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan. 

Majoriti warga di negara ini cintakan keamanan. 

Mereka semakin resah – semakin gelisah, berasa bimbang – berasa takut. 

Sedarilah! serpihan daripada letupan bom jangka ini, tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat.

17. Apakah kemenangan yang mahu diperoleh oleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerkan ego masing-masing, sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik. 

Apakah kepuasan yang bakal dihirup, sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar, dan kenderaan hangus dijilat api. 

Suhu panas ini wajib segera diturunkan. 

Perbuatan menyalakan api perkauman, perbuatan meniupkan bara permusuhan antara agama, wajib dihentikan tanpa berlengah.

Undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga yang tidak berdosa, terjamin dilindungi. 

18. Ya Allah, mengambil berkat melangkah ke tahun 1441 Hijrah ini, kami pohonkan rahmat daripada Mu juga, untuk Engkau sinarkan hati-hati kami dengan roh Islam yang mengutamakan perdamaian, dan dijauhkan para hamba-Mu yang lemah ini, daripada dipengaruhi oleh nafsu amarah dan dendam ketika bertindak. 

Engkau amanahkan bumi Malaysia ini kepada pimpinan yang amanah lagi ikhlas, pimpinan yang membawa suara kesederhanaan (voice of moderation), suara yang munasabah (voice of reasons), suara rasional dan suara persaudaraan, agar para hamba-Mu yang berbilang kaum – berbilang agama ini, hidup rukun dan harmoni, bumi Mu ini dilimpahi rezeki yang melimpah ruah, membolehkan para hamba-Mu berada dalam makmur dan sejahtera.

 

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.