Tiga bekas tentera kongsi pengalaman melawan komunis

Diposting pada

Tiga bekas tentera kongsi pengalaman melawan komunis

Merdeka

ALOR SETAR: Ibarat mati hidup semula! Itulah gambaran yang dikongsikan tiga bekas tentera yang cedera parah akibat pertempuran dengan komunis ketika bertugas menjaga keamanan negara sekitar 1970-an.

Yahya Kamis, 64, yang berkongsi pengalaman itu kepada Bernama berkata dia mengalami kecacatan kekal pada kaki kiri selepas betisnya terkena tembakan, manakala dua rakannya meninggal dunia dalam kejadian serang hendap oleh komunis pada 28 Mac 1979.

Dia yang ketika itu berkhidmat di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkata kejadian pada 10 pagi itu berlaku semasa dia bersama lima lagi anggota tentera dalam perjalanan menaiki sebuah trak, dari Pengkalan Hulu ke Bukit Berapit, Perak, untuk menghantar bekalan makanan kepada anggota operasi.

"Dalam perjalanan itu, apabila kami sampai di kawasan Kampung Air Panas, Gerik, secara tiba-tiba kami enam orang diserang hendap oleh komunis, hingga menyebabkan dua rakan saya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Waktu itu, anggaran dalam 20 orang komunis menyerang hendap kami. Saya rasa kami saling berbalas tembakan ketika itu dengan pihak komunis berlaku lebih kurang 15 minit, sebelum kereta perisai yang berada di hadapan patah balik memberikan bantuan," katanya.

Yahya berkata meskipun kaki kirinya sudah tidak kuat dan normal seperti biasa akibat urat putus, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertugas sebagai anggota tentera, sebelum bersara pada 1994.

Sementara itu, Othman Shaari, 75, pula berkata dia mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang belakang selepas terkena tembakan komunis yang menyerang trak dinaikinya bersama 13 anggota lain, di kawasan Gubir dekat Sik pada 20 Januari 1976.

Othman yang ketika itu dari Rejimen Askar Wataniah berkata kejadian itu berlaku pada 8.45 pagi, semasa dia bersama rakan lain dalam perjalanan keluar dari Kem Gubir selepas menamatkan operasi selama tiga bulan, mengawal Empangan Gubir.

"Tiba-tiba ketika sampai di satu selekoh kira-kira 700 meter dari Kem Gubir, ada terdengar bunyi tembakan dari atas bukit, rupanya pihak komunis cuba menyerang kami. Saya bersama rakan lain turut berbalas tembakan hingga menyebabkan tiga daripada kami cedera parah termasuk saya," katanya.

Katanya, tembakan komunis itu menyebabkan peluru terbenam kira-kira enam sentimeter pada bahagian atas buah pinggangnya dan terpaksa bertarung nyawa kira-kira empat jam, sebelum bantuan sampai untuk membawa anggota cedera mendapatkan rawatan di hospital.

"Dua minggu di Hospital Pulau Pinang, baru peluru pada bahagian pinggang belakang saya ini berjaya dibuang. Lebih kurang 45 hari saya terlantar di Hospital Pulau Pinang disebabkan kejadian serangan ini. Kini, kesan daripada tembakan ini, pinggang belakang saya ada kala masih sakit dan kaki kanan saya jadi lembik dan sudah tidak kuat lagi," katanya.

Tiga veteran tentera ini mengalami kecacatan kekal di bahagian kaki akibat terkena peluru dan jerangkap samar ketika menjalani tugas. --fotoBERNAMA

Berkongsi pengalaman sama, Noor Muhammad Lawamiah, 62, bekas komando tentera kini cacat kaki kanannya akibat terkena jerangkap samar, ketika membuat tinjauan bersama komando lain di kawasan Op Gubir Muda 1 pada 1978.

"Ketika itu adalah pagi Hari Raya pertama dan saya terpijak jerangkap samar hingga kaki kanan hancur dan putus. Saya terpaksa menunggu antara dua hingga tiga jam sebelum bantuan tiba bawa saya keluar dari kawasan tersebut. Tetapi semua ini tidak mematahkan semangat saya untuk bekerja.

"Kami ketika itu bersemangat bekerja untuk negara, utamakan keperluan negara berbanding keperluan sendiri. Kira masuk operasi, fikir masalah negara sahaja…tidak ingat anak isteri dah. Masuk nak cari komunis, cari musuh negara sahaja," katanya.

Sehubungan itu, sempena Hari Kebangsaan negara pada 31 Ogos ini, ketiga-tiga mereka meminta rakyat Malaysia terutamanya golongan muda menghargai pengorbanan tentera terdahulu, yang sanggup menggadai nyawa bertempur dengan komunis, bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

"Hargailah keamanan yang sudah ada di negara ini…jangan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir tidak baik," kata Noor Muhammad.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.