Tidak boleh guna gelaran selagi tiada istiadat – SUK Pahang

Diposting pada

Tidak boleh guna gelaran selagi tiada istiadat – SUK Pahang

Tidak boleh guna gelaran selagi tiada istiadat - SUK Pahang

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Karim Ibrahim tidak seharusnya menggunakan gelaran 'Datuk' selagi tidak menghadiri istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang mengesahkan Karim pernah ditawarkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

"Penama ditawarkan DIMP pada 26 Julai 2011 namun setakat ini masih belum dikalungkan (pada istiadat pengurniaan). Oleh itu, penama tidak boleh menggunakan gelaran sehingga dikalungkan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Sallehuddin berkata demikian semasa diminta mengesahkan laporan polis yang dibuat seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun di Balai Polis Travers di sini pada 4 Julai lepas, mendakwa gelaran 'Datuk' yang digunakan Karim tidak sah.

Laporan itu memohon tindakan tegas diambil ke atas Karim yang dikatakan mengguna gelaran itu sama ada secara lisan atau bertulis di merata-rata tempat termasuk kepada pihak media.

Karim tewas dalam pemilihan jawatan Presiden KOM pada 30 Jun lepas, namun masih lagi menjadi Presiden Persatuan Olahraga Perak.

Sementara itu, Karim ketika dihubungi Bernama, berkata beliau tidak mengetahui mengenai laporan polis itu, tetapi menegaskan sedar terdapat pihak yang menggunakan isu berkenaan untuk mencemarkan namanya sejak kempen pemilihan KOM lagi.

"Ia tidak palsu. Saya dapat gelaran Datuk, Saya sepatutnya pergi dan terima darjah itu tetapi tidak pergi mengambilnya. Saya tidak mengetahui ada klausa yang menyebut saya tidak boleh menggunakannya, jika pihak Istana kata tidak boleh gunakannya, saya tidak akan guna," katanya.

Sebagai rekod, Karim gagal mempertahankan jawatan presiden KOM yang dipegang selama dua penggal sejak 2014, selepas tewas kepada timbalannya, Datuk S.M. Muthu dengan perbezaan tiga undi (18-21) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-16 KOM.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.