Tiada unsur jenayah kematian tahanan Penjara Sg Petani – Polis

Diposting pada

Tiada unsur jenayah kematian tahanan Penjara Sg Petani – Polis

Tiada unsur jenayah kematian tahanan Penjara Sg Petani - Polis

SUNGAI PETANI: Polis menyifatkan tiada unsur jenayah terhadap tahanan di Penjara Sungai Petani yang meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Rabu mendapati R.Gopal Krisnan, 21, meninggal dunia disebabkan terdapat jangkitan kuman pada injap jantungnya.

"Sehubungan itu, berdasarkan hasil bedah siasat pakar forensik HSB ini, kita klasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut.

"Malah, masa hari pertama dia dibawa ke hospital pada 24 Julai lepas, rekod doktor yang merawatnya pada ketika itu memaklumkan lelaki ini tidak mengadu dipukul. Apabila doktor bertanya, dia hanya mengadu mengalami demam, lemah badan dan muntah-muntah," katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.

Katanya, walaupun kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan tunang Gopal Krisnan yang membuat laporan polis pada Selasa mendakwa lelaki itu dipukul semasa dalam tahanan.

Menurut Adzli, sekiranya polis menemui bukti baharu berkaitan kematian Gopal Krisnan termasuk unsur jenayah, kes tersebut akan disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.

"Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat yang senior teruskan siasatan kes ini. Rakaman percakapan beberapa saksi telah diambil iaitu pegawai perubatan yang merawat lelaki ini, tunangnya, pegawai penjara yang terlibat mengendalikan lelaki tersebut dan akan merakam percakapan banduan lain," katanya.

Adzli turut menggesa agar mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan tafsiran sendiri mengenai kes itu sehingga boleh menjejaskan siasatan.

Dalam pada itu, keluarga kepada tahanan itu mahu pihak polis menjalankan siasatan secara telus bagi mengetahui punca sebenar kematian Gopal Krisnan.

M. Rajalingam 48, berkata anaknya, dimasukkan ke HSAH pada 24 Julai lalu dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang semalam dan doktor memaklumkan anaknya mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru.

"Saya dan ahli keluarga lain bagaimanapun mengesyaki Gopal dipukul ketika berada di penjara kerana terdapat kesan lebam pada perut, tapak kaki melecur, leher dan kepalanya bengkak," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan dan Forensik HSB pada Rabu.

Rajalingam berkata anaknya ditahan polis pada 12 Mei lalu atas kesalahan memiliki dadah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Paya Terubong, Pulau Pinang.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.