TFC dedikasi kemenangan buat Mohd Suffian – Jurulatih sementara

Diposting pada

TFC dedikasi kemenangan buat Mohd Suffian – Jurulatih sementara

TFC dedikasi kemenangan buat Mohd Suffian - Jurulatih sementara

KUALA TERENGGANU: Kemenangan 3-1 Terengganu FC (TFC) ke atas Negeri Sembilan pada aksi Kumpulan A Piala Malaysia malam tadi didedikasikan khas buat bekas penjaga gol utamanya, Allahyarham Mohd Suffian Abd Rahman.

Jurulatih sementara TFC, Nafuzi Zain berkata pemergian mengejut pemain paling senior akibat serangan jantung pada pukul 1.10 tengah hari semalam itu amat dirasai seluruh pasukan termasuk pegawai serta pemain.

Beliau berkata lebih memberi kesan ia berlaku dalam tempoh hanya kurang beberapa jam sebelum perlawanan malam tadi berlangsung.

"Walaupun sedih alhamdulillah semua pemain dapat mengawal emosi dan memberikan persembahan terbaik pada malam tadi sehingga kita berjaya menundukkan Negeri Sembilan 3-1 di laman sendiri.

"Setiap minit perlawanan malam tadi kita hadiahkan khas buat arwah Suffian dan harapnya semangat membara beliau yang membawa Terengganu ke pentas final Piala Malaysia musim lalu dapat diteruskan pemain-pemain kita musim ini," katanya selepas perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Gol hatrik TFC disumbangkan oleh 'Drogba Ganu', Kipre Tchetche manakala gol tunggal Negeri Sembilan diperoleh menerusi pemain import, Igor Luiz.

Sebelum permainan bermula malam tadi, seramai 8,000 penonton bertafakur sejenak bagi mengingati Allahyarham Mohd Suffian.

BACA: Penjaga gol Terengganu FC meninggal dunia

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata kemenangan kali ketiga berturut-turut TFC iaitu selepas PKNS dan Kedah tempoh hari membuka peluang lebih luas untuk skuad Penyu mara ke peringkat suku akhir.

"Kita memerlukan satu lagi kemenangan selepas ini sebelum dapat mengesahkan tempat di pentas suku akhir.

"Menang tiga perlawanan tak bermakna kita bagus. Masih banyak yang perlu diperbaiki iaitu di semua posisi kerana ada yang konsisten dan ada yang tidak," katanya yang mengingatkan pemain supaya tidak mudah berada selesa.

BACA: Piala Malaysia: TFC, Pahang kekal momentum kemenangan

Sementara itu penolong jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Shafiq Jonny Abdullah berkata walaupun tewas tiga kali berturut-turut iaitu di tangan Kedah, PKNS dan TFC, beliau yakin pasukannya tetap berpeluang mara ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, skuad Rusa perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak pada mereka bagi baki tiga lagi perlawanan Kumpulan A akan datang.

"Banyak yang perlu kita perbaiki seperti di posisi pertahanan dan 'corner kick' kerana sudah banyak kali kita cuba perbaiki tapi masih tidak berjaya.

"Peluang tetap ada tetapi tiga perlawanan terakhir itu nanti kita wajib menang dan untuk itu kena betulkan kepincangan di beberapa posisi," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.