Terus sokong akhbar – Azman Ujang

Diposting pada

Terus sokong akhbar – Azman Ujang

Terus sokong akhbar - Azman Ujang

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di pelbagai peringkat digesa untuk terus membeli dan membaca akhbar sebagai tanda sokongan serta manifestasi membalas jasa yang begitu besar yang dimainkan akhbar dalam pembangunan rakyat dan negara.

Dalam membuat gesaan itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang menarik perhatian bahawa media kini merupakan bidang amat mencabar susulan ledakan atau transformasi dalam teknologi maklumat yang secara drastik telah mencorak semula landskap media keseluruhannya.

Menurutnya, antara yang paling terkesan ialah akhbar atau media cetak yang wujud sejak sekian lama, dengan minat dalam kalangan generasi muda untuk membaca akhbar kini dilihat semakin berkurangan.

"Harga akhbar kini hanya sekitar RM1, RM1.50. Apalah salahnya kita terus membeli akhbar harian atau mingguan. Ini akan menyuntik semangat baharu kepada pekerja akhbar termasuk untuk memperbaiki kandungan masing-masing," katanya.

Azman berkata demikian ketika berucap pada jamuan malam sempena sambutan ulang tahun ke-45 Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama di sini pada Sabtu.

Ia dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim dan Pemangku Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain.

Azman berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-45 KPPB 1974 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi. --fotoBERNAMA

Azman seterusnya berkata bagi Bernama sendiri, akhbar sebenarnya merupakan antara pelanggan agensi berita itu yang paling awal dan paling setia sejak penubuhannya 52 tahun lepas.

"Mereka masih merupakan pelanggan kami yang paling setia. Jadi kami meletakkan kepentingan untuk menjaga kepentingan akhbar itu juga," katanya ketika menegaskan peri pentingnya akhbar untuk kekal sebagai media arus perdana.

Beliau berkata dengan berperanan sebagai media arus perdana, akhbar boleh membantu menangani gejala berita palsu.

Media memainkan peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat menjadi lebih matang

Azman berkata ini kerana kebanyakan syarikat akhbar mempunyai legasi pemberitaan sejak berdekad lamanya berbanding media baharu yang tumbuh bagaikan cendawan sekarang.

Dalam pada itu, Haniza berkata beliau melihat kepesatan perkembangan teknologi maklumat masa kini sebagai satu 'panggilan' untuk pengamal media terus menjadi relevan sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat.

"Peranan media memang tidak boleh diperkecilkan kerana media memainkan peranan dalam membentuk pemikiran masyarakat menjadi lebih matang," katanya.

Beliau turut memuji kredibiliti Bernama yang memainkan peranan sebagai agensi berita dengan baik dan kekal menjadi rujukan bagi media media lain.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.