"Som jangan campur hal mak saya" – Najeb ingatkan pesanan Allahyarham JJ

Diposting pada

"Som jangan campur hal mak saya" – Najeb ingatkan pesanan Allahyarham JJ

"Som jangan campur hal mak saya"  - Najeb ingatkan pesanan Allahyarham JJ

KUALA LUMPUR: Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis pernah memberitahu balunya, Puan Sri Kalsom Ismail agar tidak mencampuri hal ibunya, bisnes serta politiknya.

Saksi pertama kes harta pusaka melibatkan bekas Ahli Parlimen Rompin itu, Mohamad Najeb Ali memberitahu, kenyataan itu diungkap abangnya secara terbuka dalam satu pertemuan keluarga.

“Ya. Arwah kata kepada isterinya Som jangan masuk campur hal mak saya, jangan campur hal bisnes saya dan jangan campur dengan politik saya,” katanya dalam kenyataan kes saman Aminah Abdullah, ibu kepada Allahyarham Jamaludin terhadap dua orang cucunya berhubung kegagalan memasukkan syer tiga buah syarikat ke dalam senarai aset harta pusaka dianggar bernilai RM1.3 bilion.

Sebelum ini kes itu tidak dapat diselesaikan melalui proses mediasi.

Menurut peguam Aminah dan Najeb, Pawancheek Merican, beberapa isu yang akan dibangkitkan adalah pemilikan beberapa aset kediaman di luar negara selain wang tunai.

Aminah, 85, selaku plaintif sebelum ini memfailkan saman itu melalui firma Tetuan Wan Marican, Hamzah & Shaik pada 3 Januari lalu dengan menamakan anak sulung Allahyarham, Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Perbicaraan berlangsung dalam kamar Hakim Mohd Firuz Jaffril di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu kata Najeb, peringatan Jamaludin itu diingat kembali Kalsom semasa pertemuan mereka pada 21 Mac lalu.

Jelasnya, Aminah sebelum ini telah melalui kehidupan ibu tunggal yang sangat sukar dengan mendayung botnya sendiri ke pulau sungai untuk menanam sayur-sayuran selain ke bandar untuk menjual hasil tanamannya demi menanggung kehidupan dan menyara pendidikan Jamaludin sendiri.

“Jamaludin berjaya dalam pengajiannya dan kemudiannya menjadi seorang jurutera dan ahli perniagaan yang berjaya.  Pastinya dia berterima kasih kepada ibunya sepanjang hidupnya,” kata Najeb.

Aminah sebelum ini menolak cadangan kedua-dua cucunya untuk menyelesaikan kes saman itu selepas mendapati ia tidak munasabah.

Kedua-dua defendan mencadangkan untuk memberi wang faraid kepada plaintif namun cadangan itu ditolak selepas mendapati ia tidak ada kena mengena dengan saman sivil berhubung syer syarikat yang dikemukakan di mahkamah.

Perbicaraan disambung semula pada 10 September ini.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.