Solskjaer kagumi penyudah Rashford, Martial

Diposting pada

Solskjaer kagumi penyudah Rashford, Martial

Solskjaer kagumi penyudah Rashford, Martial

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menaruh harapan tinggi terhadap Marcus Rashford musim ini selepas penyerang itu membuka kempennya dengan cemerlang ketika membenam Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL). 

United menundukkan The Blues 4-0 di Old Trafford awal pagi tadi yang menyaksikan Rashford memainkan peranan penting. 

Rashford membuka jaringan awal menerusi penalti yang dimenanginya selepas dikasari Kurt Zouma sebelum Anthony Martial menjadikan kedudukan 2-0 dalam babak kedua.

Dia dengan tenang menyudahkan hantaran Paul Pogba untuk Rashford menggandakan golnya beberapa minit kemudian manakala Daniel James memuktamadkan kemenangan mereka. 

Rashford mengumpul 10 gol dalam saingan EPL musim lalu, namun Solskjaer menjangkakan anak buahnya itu akan meledak lebih banyak musim ini. 

"Saya fikir Marcus berkembang dengan baik," kata Solskjaer kepada wartawan di Old Trafford. "Dia semakin meningkat, lihatlah tubuhnya sekarang. Dia mampu mengharungi banyak perlawanan musim ini.

"Dia bergelut dengan masalah pergelangan kakinya musim lalu, jadi musim ini saya menaruh harapan yang lebih tinggi ke atasnya, bahkan terhadap keseluruhan skuad. Kami semakin cergas dan kami bertambah mantap. 

"Dia semakin cergas dan usianya bertambah. Kami mempunyai tempoh enam minggu untuk berusaha mencapai bentuk yang kami hajati dan dia beraksi dengan luar biasa ketika mempunyai ruang di bahagian belakang.

"Berkenaan gol ketiganya, dia hampir mengulangi gerakan ketika menentang Kristiansund (dalam pramusim) di Norway tetapi sentuhan penyudah pula mengecewakannya. Mujurlah kali ini ia berhasil."

Martial memulakan perlawanan sebagai penyerang tengah United dan sungguhpun dia serta Rashford sering bertukar peranan sepanjang permainan, dia mencetak golnya hasil sepakan lintang Andreas Pereira.

Solskjaer berharap Martial akan meraih lebih banyak gol musim ini sambil berpesan kepada pemain dari Perancis itu agar menyudahkan peluang dari jarak dekat, bukannya dengan menggelecek dari sebelah sayap.

Solskjaer berkata: "Amat penting buat seorang penyerang (untuk menjaringkan gol) tetapi bagaimana anda bertindak balas? Adakah anda akan cepat berpuas hati lalu menganggap 'saya telah mencetak gol', atau anda dahagakan lebih banyak gol dan mulai sedar bahawa 'di sinilah saya boleh menyudahkan peluang'?

"Gol tidak akan terhasil di sebelah sayap kiri dengan anda mempamerkan kemahiran, sebaliknya gol akan terhasil dalam kotak penalti dan saya sangat gembira kerana Anthony menjaringkan gol dari jarak lima meter hasil hantaran silang itu kerana saya jarang melihat kelibatnya di situ."

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.