Selangor perlu segera bentang rancangan atasi masalah banjir dalam bandar – ADUN

Diposting pada

Selangor perlu segera bentang rancangan atasi masalah banjir dalam bandar – ADUN

Selangor perlu segera bentang rancangan atasi masalah banjir dalam bandar - ADUN

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor perlu segera membentangkan pelan perancangan mengatasi banjir dalam bandar di negeri itu.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, ia termasuk melaksanakan pemantauan kerap terhadap longkang dan saliran air di setiap kawasan.

“Pemantauan di kawasan-kawasan pembinaan juga harus diberikan penekanan memandangkan kawasan pembinaan seringkali menjadi punca kejadian banjir kilat dalam negeri ini.

“Memandangkan kerajaan negeri dan Pusat adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), maka sudah tentu perkara ini boleh dipermudahkan.

“Oleh yang demikian, kerjasama yang sepatutnya antara agensi negeri termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan persekutuan perlu digerakkan segera agar kejadian yang sama dapat dibendung dan tidak berulang pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di sini.

TONTON: Subang Jaya dilanda banjir kilat

Hujan lebat di sekitar Subang Jaya pada Khamis mengakibatkan banjir kilat di laluan utama jalan Persiaran Kewajipan termasuk jalan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 3.40 petang yang berlanjutan sehingga sejam itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, kejadian banjir kilat di Subang Jaya yang menghanyutkan beberapa buah kenderaan itu tidak harus dijadikan mainan politik memandangkan kejadian tersebut adalah sesuatu di luar jangka dan bukanlah kerap kali berlaku.

“Pada masa yang sama, kejadian tersebut perlu dijadikan pengajaran agar tidak lagi berulang pada masa hadapan.

“Ini adalah sangat penting memandangkan Subang Jaya dan kawasan sekitarnya seperti Petaling Jaya, Puchong dan Damansara merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta merupakan kawasan aktiviti utama di Lembah Klang.

“Dengan kata lain, sekiranya kejadian petang tadi tidak diambil tindakan sepatutnya serta berulang lagi pada masa hadapan, sudah pasti ianya akan mengganggu aktiviti dan kehidupan seharian rakyat,” tegasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga diminta tidak mengambil mudah isu berkenaan kerana ia boleh mengakibatkan kerugian harta benda yang besar malah boleh mengancam nyawa rakyat.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.