Saranan perkenal kaligrafi lain akan dipertimbang – Maszlee

Diposting pada

Saranan perkenal kaligrafi lain akan dipertimbang – Maszlee

Saranan perkenal kaligrafi lain akan dipertimbang - Maszlee

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bersedia mempertimbangkan keperluan memperkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat dalam kurikulum sekolah di negara ini.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memandangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing.

"Menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam pendidikan seni kita menitikberatkan kesenian daripada pelbagai etnik di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian apabila ditanya kemungkinan kerajaan memperkenalkan seni kaligrafi lain seperti kaligrafi Cina kepada pelajar sekolah di negara ini.

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi, bagaimanapun kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengarang media cetak dan elektronik berbahasa Cina bagi membincang serta memberi penjelasan terperinci mengenai pengenalan tulisan jawi.

"Kita telah berbincang dengan beberapa editor akhbar Cina… kita bincang secara terperinci menjelaskan tentang apa yang kita lakukan dan beberapa perkara yang dibaik pulih agar pengajaran tidak membebankan murid dan guru," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.