'Sangkar' satu penghargaan kepada atlet MMA tanah air – Zul Ariffin

Diposting pada

'Sangkar' satu penghargaan kepada atlet MMA tanah air – Zul Ariffin

'Sangkar' satu penghargaan kepada atlet MMA tanah air - Zul Ariffin

PETALING JAYA: Pelakon popular tempatan Zul Ariffin menyifatkan filem 'Sangkar' sebagai satu penghargaan kepada atlet-atlet seni bela diri campuran (MMA) di negara ini.

Beliau yang memegang watak utama dalam filem itu berkata, atlet-atlet berkenaan juga telah banyak membantu dalam menjayakan aksi yang membabitkan sukan tersebut agar ia nampak meyakinkan.

"Cerita sebenarnya, secara tak langsung kita nak berterima kasih kepada semua atlet MMA, termasuk yang amatur, separa-profesional, dan profesional. Terima kasih banyak.

"Sebenarnya kami nak kelihatan meyakinkan, kami nak nampak seperti kamu (atlet MMA), jadi secara tak langsung filem ini memberi penghormatan kepada bidang (MMA) ini. Sebenarnya ada ramai atlet MMA di tanah air, ramai yang mewakili negara ini. Jadi, saya harap mereka dapat pengiktirafan.

"Latihan kami mereka yang tolong. Kalau tak, kami pun tak tahu apa nak buat… mungkin bersalam-salaman sajalah kot?" katanya pada sidang media selepas Majlis Tayangan Perdana Filem 'Sangkar' di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zul berharap filem ini dapat memberi impak dalam industri filem tempatan selain industri sukan MMA.

"Harapan saya untuk filem ni, kita nak ada impak dalam industri. Ini filem MMA pertama (di Malaysia), dan ia gabungkan saya dengan ramai artis seperti Remy Ishak, Mira Filzah, Ray, dan ramai lagi untuk kali pertama.

"(Penggambaran) pada bulan puasa, kami kerja dalam keadaan seronok, seperti keluarga kerana kita tahu hendak hasilkan sesuatu yang bagus," katanya.

Filem 'Sangkar' mengisahkan tentang dua petarung MMA, Adam (Zul) dan Johan (Remy) serta liku-liku kehidupan yang terpaksa diharungan mereka.

Selain pelakon yang disebutkan, filem arahan Kabir Bhatia ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Adam Mika, Ray, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel dan Rashid Salleh yang juga merupakan Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA).

Filem ini juga menyaksikan kemunculan beberapa atlet profesional MMA sebenar seperti Andy Teh dan bekas petarung UFC James 'Sledgehammer' Mcsweeney, serta atlet tempatan dari ONE Championship iaitu Saiful Merican, Peter Davis dan Jihin Radzuan.

Runut bunyi rasmi lagu tema yang mengiringi filem ini berjudul ‘Fighter’ dan dinyanyikan oleh rapper popular, Aman RA.

Nantikan filem Sangkar yang akan menemui para penonton melalui pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 29 Ogos 2019.

Pengguna laman sosial juga boleh menggunakan tanda pagar #SangkarMovie bagi berkongsi ulasan tentang filem ini.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.