Ratusan jemaah tunai solat hajat mohon beri petunjuk jejaki Nora Anne

Diposting pada

Ratusan jemaah tunai solat hajat mohon beri petunjuk jejaki Nora Anne

Ratusan jemaah tunai solat hajat mohon beri petunjuk jejaki Nora Anne

NILAI:

Kira-kira 300 jemaah menunaikan solat sunat hajat di Masjid Kariah Pantai, hari ini bagi memohon petunjuk berhubung kehilangan remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak pagi Ahad lalu di sebuah pusat peranginan di sini.


Solat sunat hajat yang ditunaikan sejurus selepas solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam 2 Masjid, Mohd Taufik Awaludin.


Beliau berkata, inisiatif itu diambil sebagai ikhtiar pihak masjid dalam usaha membantu pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) mencari mangsa yang dipercayai hilang di pusat peranginan yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi masjid berkenaan.


Antara yang turut menyertai solat hajat berkenaan termasuklah Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.


Mengulas lanjut ujar Mohd Taufiq, memandangkan dia pernah 17 tahun berkhidmat sebagai tenaga pengajar kepada kanak-kanak istimewa, kehilangan Nora Anne yang juga remaja itu amat dekat dihatinya.


“Kita faham bahawa kanak kanak istimewa ini anugerah Allah, kita kena beri perhatian pada anak anak istimewa ini, tetapi ada masyarakat kita terlepas pandang dengan memberi perhatian penuh kepada kanak-kanak ini.

“Ini kanak kanak istimewa, jadi bila berlaku kehilangan ni agak sukar berbanding kanak-kanak biasalah, yang normal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Terdahulu, dalam kejadian pada Ahad, gadis berasal dari Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu, sebelum Nora Anne dilaporkan hilang.


Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di resort berkenaan oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.


Dalam pada itu, pada perkembangan hari keenam, laungan rakaman suara ‘Nora…darling!’, ‘Nora…I Love You, ‘Nora… mum is here’ memecah kesunyian hutan.


Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, rakaman suara ibu mangsa, Meabh Jaseprine Quoirin digunakan menerusi pembesar suara dan telefon bimbit oleh anggota SAR dan setakat ini pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.