Puding Diraja Pahang menu istimewa Majlis Santapan Diraja

Diposting pada

Puding Diraja Pahang menu istimewa Majlis Santapan Diraja

Puding Diraja Pahang menu istimewa Majlis Santapan Diraja

KUALA LUMPUR: Makanan tradisional Melayu sentuhan peribadi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menjadi antara hidangan pencuci mulut istimewa Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, malam tadi.

Majlis Santapan Diraja itu diadakan bagi meraikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Majlis santapan, yang dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-raja Melayu dan kerabat diraja, menyajikan antara lain Puding Diraja Pahang, Kacau Labu, Kacau Keledek, Wajik Kasirat, Wajik Ubi, Wajik Durian, Buah Tanjung, Taik Itik dan Kuih Tonjet sebagai pencuci mulut.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri-menteri kabinet, duta dan perwakilan asing serta pegawai kanan kerajaan, adalah antara 700 tetamu yang hadir pada majlis santapan itu.

Persembahan sempena Majlis Santapan Diraja itu dimulakan dengan tarian Ayak-ayak oleh kumpulan Permata Seni Tari, diikuti persembahan khas video kapsul riwayat hidup Seri Paduka berdua dan Istiadat Pertabalan.

Antara tetamu yang hadir pada Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara malam tadi. --fotoBERNAMA

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berbual bersama Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pada Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara malam tadi. --fotoBERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan dan Raja Permaisuri Agong berkenan bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas Majlis Santapan Diraja sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara malam tadi. --fotoBERNAMA

Sambil menjamu selera, hadirin dihiburkan dengan muzik instrumental lagu-lagu Pahang antaranya Walinong Sari, Burung Kenek-kenek, Menghilir Sungai Pahang, Lemak Manis Tebang Tebu dan Kain Songket oleh Orkestra RTM.

Tidak ketinggalan persembahan muzik instrumental lagu-lagu evergreen seperti Lately, Barefoot Girl, How Deep Is You Love dan Antara Anyer dan Jakarta, serta nyanyian oleh Dayang Nurfaizah.

Tarian Joget Pahang oleh Permata Seni Tari menutup persembahan pada majlis itu.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.