Polis tahan lelaki Indonesia rosakkan patung kuil

Diposting pada

Polis tahan lelaki Indonesia rosakkan patung kuil

Polis tahan lelaki Indonesia rosakkan patung kuil

IPOH: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki merosakkan patung di kuil Sri Maha Mariaman Kampung Dusun Bertam di sini, pagi ini.

Suspek berumur 25 tahun yang disyaki lari dari majikan itu ditahan berhampiran kuil berkenaan dan ujian urin menunjukkannya positif dadah. Dia juga disyaki kurang siuman.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, lelaki itu diberkas kira-kira jam 4.15 pagi dengan kerjasama orang ramai.

Menurutnya, ia ekoran laporan polis yang dibuat pengerusi kuil itu kira-kira jam 1.50 pagi, berikutan 15 patung dalam kuil berkenaan telah dirosakkan.

“Pihak polis turut merampas sebatang pemutar skru yang disyaki digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hong Shuan berkata, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 295, 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

“Polis DiRaja Malaysia ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis,” ujarnya.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang melawat kuil itu menasihatkan agar semua pihak bertenang dan dapat mengawal suasana supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Alhamdulillah, penduduk sekitar telah memberi kerjasama yang baik bagi memastikan keadaan tenang dan harmoni serta tidak berlaku sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini.

“Saya menasihatkan agar menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan tanpa membuat sebarang andaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membincangkan hal ini dalam masa terdekat untuk membantu kerosakan dan kerugian yang ditanggung pihak pengurusan kuil.

“Kami sangat komited memastikan keharmonian kaum di negeri ini terpelihara dan menolak sebarang bentuk keganasan dan provokasi,” tegasnya.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.