Polis akan panggil Dong Zong, Koon Yew Yin, Zakir Naik – Muhyiddin

Diposting pada

Polis akan panggil Dong Zong, Koon Yew Yin, Zakir Naik – Muhyiddin

Polis akan panggil Dong Zong, Koon Yew Yin, Zakir Naik - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), ahli perniagaan Koon Yew Yin dan penceramah bebas, Dr Zakir Naik, untuk disoal siasat berhubung kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan mereka secara berasingan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan pada Khamis berkata langkah tersebut diambil ekoran beberapa laporan polis telah dibuat ke atas mereka dan siasatan sedang dijalankan.

Beliau berkata pihak polis kini sedang mengambil tindakan tegas terhadap pelbagai pihak yang menyebarkan berita palsu serta mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang bangsa di Malaysia.

"Setakat ini, beberapa individu lain juga telah dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian PDRM," katanya.

Muhyiddin berkata tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapatbukti yang mencukupi.

"PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kenyataan yang dibuat yang didapati mampu mengeruhkan keadaan terutama di media sosial," katanya yang turut menasihatkan pengguna agar menggunakan media sosial secara berhemah.

Muhyiddin berkata agensi penguatkuasaan di bawah KDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja termasuk bukan warganegara Malaysia yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.

"Semua pihak perlu berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian. Sebaliknya perlu menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan tentang sesuatu kejadian.Ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu," katanya.

Muhyiddin juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kenyataan atau komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan, agar melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan menghantar rakaman skrin kepada akaun media sosial rasmi PDRM; Facebook: facebook.com/PolisDirajaMalaysia ; Instagram: instagram.com/pdrmsia_official ; Twitter: twitter.com/PDRMsia dan Youtube: youtube.com/user/PDRMsia

"Malaysia adalah sebuah negara majmuk terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dan setiap rakyat seharusnya menghormati kepelbagaian dan meraikan perbezaan yang ada di negara ini," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.