PH ajak rakyat ketepi retorik yang rosakkan perpaduan

Diposting pada

PH ajak rakyat ketepi retorik yang rosakkan perpaduan

PH ajak rakyat ketepi retorik yang rosakkan perpaduan

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia digesa untuk ketepikan retorik yang merosakkan perpaduan dan memainkan peranan untuk memupuk perpaduan antara kaum.

Penegasan itu dibuat kepimpinan Pakatan Harapan (PH) merujuk pada beberapa isu yang menjadi perbualan rakyat Malaysia pada ketika kini.

Menurut pimpinan utama PH, rakyat harus bersatu menyanggah polemik yang berniat membinasakan negara selain menolak politik yang mementingkan kelompok kecil dan bukan kemaslahatan umum.

Rakyat juga, kata PH, perlu terus yakin bahawa membina negara adalah usaha yang memerlukan iltizam yang kukuh, niat yang ikhlas dan kepercayaan yang tinggi terhadap masyarakat itu sendiri.

"Rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya, maka kepelbagaian ini semestinya dipertahan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

"Kami percaya rakyat Malaysia kesemuanya cintakan keamanan dan keharmonian untuk terus bersama menikmati hidup dalam suasana aman.

“Kita juga seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk bermuhasabah akan kejayaan yang telah kita capai bersama serta cabaran-cabaran yang masih perlu ditempuhi demi membina sebuah negara yang bersih, adil dan berjaya,” kata pimpinan utama PH dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Kenyataan media pimpinan utama PH bertajuk Lipatganda Usaha Untuk Pastikan Negara Kekal Makmur, Bersatu Padu, Dihormati Semua itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu

Menurut kenyataan tersebut, rakyat Malaysia kini jelas lebih mudah menyuarakan pandangan melalui media sosial mahupun media arus perdana.

Sehubungan itu, PH menggesa orang ramai tidak menyentuh hal sensitiviti yang boleh mencemarkan perpaduan di Malaysia.

Jelas kenyataan itu lagi, semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan untuk perlu sentiasa memupuk perpaduan antara kaum dan meningkatkan persefahaman sesama masyarakat.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara satu sama lain.

“Kepelbagaian ini semestinya dipertahan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat,” ujar kenyataan itu.

Selain itu, kepimpinan PH juga menyeru agar semua lapisan masyarakat menyahut seruan Perdana Menteri untuk memperkuatkan lagi usaha memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani oleh semua.

“Semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat mahupun latar belakang, perlu sentiasa memupuk perpaduan dan meningkat persefahaman sesama kita,” tulis kenyataan itu lagi.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.