Perwakilan MIC harus bijak, berhemah dalam perbahasan

Diposting pada

Perwakilan MIC harus bijak, berhemah dalam perbahasan

Perwakilan MIC harus bijak, berhemah dalam perbahasan

PERHIMPUNAN Agung MIC ke-73 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Putra World Trade Centre (PWTC) pada 24 sehingga 25 Ogos kali ini disertai lebih 2,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Ia dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, ia turut dihadiri pemimpin-pemimpin parti gabungan BN juga pemimpin utama parti Pas buat kali pertama.

Para perwakilan membincang dan membahas pelbagai isu termasuk ekonomi, sosial dan politik yang  melibatkan komuniti India, terutamanya isu pengenalan ‘seni khat’  di sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan juga ucapan serta kenyataan pendakwah Islam, Dr Zakir Naik yang hangat dibincang dalam kalangan masyarakat India kebelakangan ini.

Walaupun isu pengajaran seni khat telah diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan bijak, terdapat juga beberapa NGO yang mewakili kepentingan kaum India menganjurkan perhimpunan aman  bertema ‘Say No to Khat’ di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk menunjukkan bantahan mereka kepada  pelaksanaan pengajaran seni khat di sekolah Tamil.

Pada masa yang sama, perhimpunan aman untuk menzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap Dr Zakir dilapor dibatalkan oleh kerana tidak dapat kelulusan polis.

Dalam hal pengenalan mata pelajaran seni khat, masyarakat India perlu berlapang dada mengambil kira keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Isu hangat

Kerajaan PH telah membuat keputusan melarang Dr Zakir berucap di tempat-tempat awam terutamanya ucapan mengaitkan lain-lain agama.
  
Dalam pada itu, walaupun pelbagai alasan diberikan oleh pelbagai kumpulan yang berkepentingan agama Islam, termasuk Pas, isu ucapan Dr Zakir tetap menjadi polemik dalam kalangan rakyat negara ini.

Isu mengenai Dr Zakir masih menjadi perbincangan hangat, malah saban hari ditular di media sosial.

Jadi, Kerajaan PH hendaklah berhemah dalam mengurus isu ini supaya tiada pihak yang merasa mereka tidak mendapat keadilan.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Zakir diberikan status penduduk tetap (Permanent Residence atau PR), tetapi penceramah itu telah melintas garisan dengan kenyataan yang berbau politik serta perkauman.

Ucapan Dr Zakir didakwa menimbulkan perasaan tidak senang hati dalam kalangan sebahagian besar masyarakat bukan Melayu, terutamanya warga India dan Cina dalam negara.

Pelbagai pihak yang berpengaruh terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik yang menganggotai kerajaan memerintah dan pembangkang juga menzahirkan pendapat senada dengan Dr Mahathir.

Malahan, mereka mengesa agar kerajaan PH menarik balik status PR Dr Zakir. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melahirkan pendapat bahawa ucapan Dr Zakir mampu merosakkan perpaduan antara kaum.

  Periasamy (dua dari kiri) semasa di Perhimpunan Agung MIC di PWTC. Di sebelah kanannya, Presiden Sayap Penyokong Pas, Balasupramaniam. -Gambar Astro AWANI
Sehubungan itu, perlu dijelaskan bahawa warga bukan Islam tidak membantah atau kisah jika Dr Zakir berdakwah mengukuhkan dan  menyebarkan syiar Islam dengan bebas sesuai dengan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia.

Tetapi, warga bukan Islam didapati terguris hati apabila Dr Zakir menyentuh tentang agama Hindu malah membuat perbandingan antara agama Islam dan Hindu yang dilihat kurang tepat.

Malah, ada pakar agama Hindu berpendapat bahawa asas-asas perbandingan antara agama yang dibuat oleh Dr Zakir bukan sahaja kurang tepat malah menyeleweng.

Tambahan pula, Dr Zakir mempersoalkan hak-hak legitimasi kaum India dan Cina yang jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, sebahagian besar kaum bukan Islam berpendapat ucapan dan kenyataan Dr Zakir akan mengundang kacau-bilau malah meretakkan dan merenggang hubungan baik antara kaum yang terjalin selama ini.
 
Memandangkan gejala penularan sentimen benci-membenci dan perasaan permusuhan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum akibat terpengaruh dengan ucapan-ucapan daripada orang yang berpengaruh, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah baru-baru ini bertitah bahawa perbuatan menyuntik minda dengan racun kebencian dan menyemai jiwa dengan semangat permusuhan amat membahayakan, apatah lagi apabila ia dilakukan atas nama kaum dan agama.

Apapun, memandangkan suhu politik semasa masih hangat terhadap pelbagai isu, terutamanya isu Dr Zakir, perwakilan MIC pada kali ini perlu  berhati-hati, bijak dan berhemah dalam hujah dan perbahasan mereka agar tidak timbul masalah baru di kalangan rakyat berbilang kaum.

Para perwakilan hendaklah memastikan hujah-hujah mereka tidak menyentuh perkara-perkara yang melibatkan isu sensitif kaum.

Perhimpunan signifikan 

Memandangkan Senator Tan Sri S. Vigneswaran, dilantik sebagai presiden MIC yang ke-10 pada tahun 2018, Perhimpunan MIC ke-73 kali ini merupakan perhimpunan yang signifikan kerana inilah perhimpunan agung yang pertama kali diadakan di bawah kepimpinannya.

Ucapan dasar presiden dijangka menarik perhatian para perwakilan dengan menyentuh hala tuju atau kompas perjalanan MIC pada masa hadapan.

S.Vigneswaran, selaku presiden MIC yang berpengalaman dan berwawasan juga dijangka mengupas pelbagai isu yang melibatkan kepentingan komuniti India, termasuk isu politik, terutamanya kerjasama MIC dengan Pas dan lain-lain isu termasuk cabaran, harapan, strategi dan pelan tindakan jangka pendek serta panjang untuk menguatkan MIC menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-15 (PRU15) .

Apapun, kebolehan S.Vigneswaran pasti mampu mempengaruhi dan menawan minda juga hati sebahagian besar perwakilan terutamnaya golongan muda yang menyertai Perhimpunan Agung MIC pada kali ini.

MIC di bawah kepimpinan S,Vigneswaran mampu bangkit dan melakar semula sejarah kegemilangan MIC seperti sebelum ini.


Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.