Perpaduan rakyat telah membantu saya ke menara gading – Izzat

Diposting pada

Perpaduan rakyat telah membantu saya ke menara gading – Izzat

Merdeka

GEORGE TOWN: Kisah tular seorang anak muda yang terpaksa membantu ibunya menjual petai demi menampung kos yuran kemasukan ke universiti akhirnya mendatangkan tuah apabila kisahnya mendapat perhatian masyarakat Malaysia yang berpusu-pusu menyalurkan bantuan.

Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, berkata keputusannya untuk menangguhkan kemasukannya ke Universiti Sains Malaysia (USM) terhenti apabila orang ramai tanpa mengira latar belakang kaum dan agama telah menyumbangkan bantuan kepadanya agar dapat terus mengejar cita-citanya ke menara gading.

"Saya sendiri dapat melihat perpaduan rakyat Malaysia apabila mereka sudi membantu saya tanpa mengira bangsa dan agama dari segi kewangan dan macam-macam lagi untuk saya masuk ke universiti.

"Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi bantu walaupun tidak mengenali saya," kata anak ketiga daripada 12 orang adik beradik ini.

Muhammad Izzat meninggalkan keluarganya di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang dengan menaiki bas seorang diri sebelum sampai ke Pulau Pinang untuk menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan).

Beliau telah menginap di rumah bapa saudaranya di Bayan Baru sebelum dihantar ke kampus untuk tujuan pendaftaran.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) Sylvester Ranggie Rentap, 20, berkata tujuan utama beliau melanjutkan pelajaran ke USM adalah untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin kemudian berkongsi ilmu demi pembangunan anak-anak bangsa.

Kata anak kelahiran Sarikei, Sarawak itu, beliau ingin mengubah corak hidup dan pemikiran anak-anak muda di kampungnya yang selesa menimba ilmu sehingga di tingkatan lima sahaja yang kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerja.

"Sebenarnya ia terjadi atas kesempitan hidup. Dengan bekerja, lebih mudah untuk mereka membantu keluarga… namun tidak semua jalan yang diambil itu mudah. Saya sendiri telah mengumpul wang hasil bekerja di sebuah pasar raya serta dibantu oleh abang saya untuk masuk ke universiti.

"Semasa belajar di USM, saya juga bercadang untuk bekerja separuh masa untuk menampung wang belanja sendiri. Ianya tidak mudah namun inilah cabaran yang saya bersedia untuk sahut… saya tidak akan membiarkan keputusan untuk bekerja separuh masa itu mengganggu pelajaran saya," katanya.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata USM bersedia membantu pelajar-pelajar daripada golongan tercicir dan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di institusi ini.

"Sejumlah 370 calon daripada kelompok ini telah terpilih melalui pengambilan di bawah sistem UPU (Unit Pusat Universiti) dan juga pengambilan terus dari pihak USM.

"Bagi membantu beban pelajar kategori ini, Yayasan USM dan Pejabat Zakat Waqaf dan Infaq (ZAWAIN) akan bersedia memberi bantuan sewajarnya kepada mereka," katanya ketika sidang media, pada Isnin.

Selain itu Asma berkata USM turut prihatin dan memberi peluang kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk merealisasikan impian mereka untuk menggenggam segulung Ijazah.

Katanya, sebanyak 70 bilik mesra OKU disediakan untuk menampung kemasukan pelajar-pelajar istimewa ini di samping menyediakan kemudahan asas seperti tandas, platform, parkir khas, bantuan makanan, kelas di tingkat bawah, bantuan rakan sebaya 'buddies', dan pengangkutan khas (van) untuk memudahkan pergerakan golongan ini ke kelas dan aktiviti kokurikulum.

Tambah Asma, bagi memperkasakan sukan negara, USM telah mengenal pasti dan menawarkan peluang pendidikan kepada 15 atlet yang mewakili negeri dan negara daripada pelbagai jenis sukan antaranya judo, boling padang, hoki, petanque, renang dan sebagainya.

Sebahagian atlet-atlet ini bakal mewakili negeri masing-masing dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 Johor Darul Takzim.

USM juga turut menjadi perhatian 237 calon antarabangsa dari 38 buah negara antaranya China, Arab Saudi, Indonesia, Bangladesh, Mesir, Pakistan, India, Iran, Itali, Rusia, Norway, Maghribi, Kanada, Taiwan, Algeria dan sebagainya.

Kata Asma, setakat ini USM mempunyai keseluruhan pelajar antarabangsa dari 76 buah negara yang berbeza.

Salah seorang calon dari Kashmir, India Asslam Mushtaq, 19 berkata beliau memilih USM kerana telah mendengar banyak perkara positif mengenai universiti itu daripada abangnya yang juga penuntut di USM.

Katanya, beliau tertarik dengan pelbagai kemudahan dan proses pembelajaran yang dipraktikkan di USM.

"Saya mahu belajar Bahasa Inggeris dan USM memberi peluang terbaik dan ia adalah sebuah universiti yang dikenali di peringkat antarabangsa.

"Saya mendengar ulasan yang baik mengenai USM dan bukan hanya daripada abang saya tetapi ramai orang daripada latar belakang pendidikan.

"Saya kagum dengan prasarananya dan cara pensyarah mengajar pelajar. USM sememangnya pilihan pertama saya untuk melanjutkan pengajian," katanya.

Kata Asslam, beliau bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk menyambung pengajiannya di Malaysia yang aman namun beliau masih risau akan keselamatan keluarganya yang masih tinggal di Kashmir.

Menurut anak kedua daripada tiga adik beradik itu, beliau sukar untuk menghubungi keluarganya kerana perkhidmatan komunikasi yang terhad di kawasan itu serta krisis kemanusiaan di Wilayah Jammu dan Kashmir.

"Saya hanya berhubung dengan ibu bapa saya menerusi talian tetap, kami tidak punyai talian mobil dan kemudahan internet.

"Pada masa ini (ketika pergolakan) jika kami mahu berhubung sesama kami, ibu bapa saya perlu pergi ke tempat-tempat tertentu untuk menghubungi kami (Asslam dan abangnya) buat beberapa minit.

"Di sini saya bebas sepenuhnya dan apabila memikirkan tentang keluarga saya, keadaan mereka sangat berbeza," katanya.

–BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.