Pergi Turki, bangun Malaysia balik nanti

Diposting pada

Pergi Turki, bangun Malaysia balik nanti

Pergi Turki, bangun Malaysia balik nanti

BARU-BARU ini, Tun Dr Mahathir telah mencadangkan anak muda Malaysia mencari pekerjaan di Turki kerana masalah mendapat pekerjaan di negara kita.

Di samping itu beliau juga menyatakan bahawa anak muda kita akan mencedok pengalaman dan pengetahuan kerana Turki mempunyai firma yang berteknologi tinggi.

Sekali baca agak mengelirukan saranan perdana Menteri kita. Ini kerana Turki sendiri sedang mengalami masalah ekonomi dan akibat dari itu, ia juga sedang mengalami masalah pengangguran iaitu hampir 15 peratus.

Bahkan sekarang ini sentimen di Turki amat negatif terhadap kehadiran orang asing, terutama dari Syria. Ada laporan mengatakan bahawa terdapat kes di mana pelarian Syria telah dihantar pulang secara paksa ke negara mereka.

Oleh kerana ekonomi Turki masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih dalam masa terdekat (akibat beban hutang sektor swasta nya kepada syarikat kewangan Eropah dan Amerika), masalah penganggurannya juga tidak akan dapat diselesaikan.

Sebenarnya masalah pengangguran ini wujud di seluruh dunia, bukan sahaja di Turki dan Malaysia. Sebagai contoh ia juga wujud di Amerika Syarikat dan Britain.

Di Amerika Syarikat, masalah pengangguranlah yang membuat ramai rakyatnya benci kepada kehadiran orang asing, terutama dari Mexico dan negara Amerika Selatan yang lain.

Faktor ini juga menyumbang kepada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden kerana janji beliau untuk menyekat kemasukan orang asing supaya peluang pekerjaan warga Amerika tidak terjejas adalah lebih meyakinkan pengundi.

Di Britain pula, kebimbangan kepada peluang pekerjaan diambil oleh warga asing dari negara-negara Eropah Timur seperti Poland dan Chzekoslovakia adalah antara faktor yang telah membuat rakyat Britain memilih untuk keluar dari Eropah (yang digelar keputusan Brexit).

Tetapi sebenarnya keputusan Brexit ini kemungkinan besar akan membuat ekonomi Britain menjadi bertambah teruk kerana peluang perdagangan dengan negara Eropah akan terjejas. Akibatnya masalah pengangguran juga mungkin akan meningkat.

Apa yang ramai tidak faham ialah punca sebenar kepada masalah pengangguran bukannya kehadiran warga asing tetapi adalah industri hutang yang semakin berkembang. Industri hutang atau industri perbankan berkembang kerana kecenderungan masyarakat untuk menambah hutang mereka kepada industri ini.

Apa yang mereka tidak sedari ialah industri ini mencipta wang baharu setiap kali ia memberi hutang kepada pelanggannya dan inilah antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan kos operasi firma-firma serta juga kepada kenaikan kos sara hidup.

Pada masa yang sama firma akan terbeban dengan hutang yang banyak dan ini memaksa mereka berusaha untuk mengurangkan kos. Firma-firma ini akan berusaha mencari kakitangan yang sanggup berkerja dengan gaji yang rendah demi mengekalkan daya saing mereka.

Jika kos tidak dapat dibendung atau dikurangkan, mereka akan menghadapi masalah untuk bersaing di pasaran.

Jika mereka tidak berpeluang mendapat kakitangan yang murah (dalam bentuk warga asing) mereka mungkin akan memindahkan operasi mereka ke negara yang mempunyai pekerja yang sanggup berkerja pada gaji atau upah yang rendah.

Di Malaysia, pilihan mereka ialah Vietnam atau Indonesia atau Bangladesh. Oleh itu mereka amat berterima kasih kepada kerajaan yang membenarkan warga asing dari negara-negara ini datang ke Malaysia kerana ini bermakna mereka tidak perlu memindahkan kilang atau operasi mereka ke negara-negara tersebut.

Tetapi upah yang terlalu rendah adalah tidak realistik untuk warga Malaysia yang terpaksa memikirkan bagaimana ingin menanggung kos menyara anak dan isteri (dan kadang kala ibu bapa juga).

Oleh itu ramai tidak akan mengambil peluang pekerjaan yang upahnya terlampau rendah dan inilah yang menyumbang kepada masalah pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelaslah bahawa solusi jangka panjang kepada masalah pengangguran bukannya menyekat kemasukan warga asing semata-mata tetapi ialah menyekat perkembangan industri hutang.

Namun sebelum ini boleh berlaku, nilai masyarakat juga perlu berubah di mana apa yang menjadi objektif utama kehidupan bukannya kekayaan dunia semata-mata tetapi adalah keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa meminjam wang dari industri hutang adalah tidak dapat dielakkan oleh firma perniagaan. Jawapan saya ialah renungilah apa yang sedang berlaku di negara maju di mana banyak syarikat (yang dahulunya giat meminjam dari industri hutang) sedang tenat dan ramai pekerja sedang sengsara.

Ini adalah bukti kebenaran firma Allah di dalam surah Al baqarah Ayat 276 yang berbunyi “Allah menarik keberkatan dari riba dan menambah kepada sedekah.”

Sudah sampai masanya masyarakat kembali mengejar daya saing dalam bentuk keberkatan dan keridhaan Allah SWT dan bukannya mengejar daya saing dari kaca mata material dan dunia semata-mata.


Prof Nazari Ismail ialah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.

Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.
 

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.