Penduduk Karak resah penemuan 15 tong berisi bahan kimia

Diposting pada

Penduduk Karak resah penemuan 15 tong berisi bahan kimia

Penduduk Karak resah penemuan 15 tong berisi bahan kimia

BENTONG: Sebanyak 15 tong dipercayai berisi bahan kimia pepejal ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Felcra Sempa, Karak di sini, menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Tong hitam seberat kira-kira 50 kilogram yang dipercayai berisi bahan kimia jenis sodium sianida dalam bentuk pepejal seperti digunakan dalam perlombongan emas itu menimbulkan pelbagai persoalan termasuk adakah ia digunakan secara haram bagi melombong emas di kawasan berhampiran.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang berkata, tong-tong tersebut ditemukan orang awam sebelum dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar kelmarin.

"Walaupun label di tong berkenaan menunjukkan ia adalah bahan kimia digunakan dalam perlombongan emas, Jabatan Alam Sekitar yang membuat pemantauan pada hari yang sama mengambil sampel dan dihantar kepada Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor bagi mengenalpasti bahan kimia berkenaan.

"Kita memandang serius perkara ini dan siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa, tindakan tegas mengikut undang-undang akan dibuat sekiranya didapati mana-mana pihak yang bertanggungjawab meletakkan bahan kimia berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Sharkar, Jawatankuasa Pembuangan Sisa Toksik yang terdiri daripada pelbagai agensi dipengerusikan beliau sendiri akan terus melakukan pemantauan berterusan sementara menunggu keputusan ujian sampel.

Katanya, sebagai tindakan segera pihak berkuasa hari ini telah melakukan operasi bersepadu bersama polis dan pelbagai agensi di lombong emas berhampiran.

"Kita telah melakukan serbuan ke lombong emas berhampiran dan kita serahkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains serta Pejabat Tanah dan Galian untuk tindakan lanjut. Jika didapati bersalah kita akan kompaun dan ambil tindakan undang-undang," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Wilayah Felcra Pahang, Datuk Abdul Mutalib Tais berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan kes itu tidak ada kaitan dengan Felcra.

"Malah di kawasan ladang Felcra juga kami telah mengenal pasti tiada apa-apa aktiviti perlombongan emas sekiranya bahan kimia berkenaan dikatakan untuk digunakan bagi melombong emas," tambahnya.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.