Pembangunan Kuala Lumpur tidak seimbang dengan seni bina warisan

Diposting pada

Pembangunan Kuala Lumpur tidak seimbang dengan seni bina warisan

Merdeka

KUALA LUMPUR: Pembangunan di Kuala Lumpur tidak diseimbangkan dengan warisan sejarah Malaysia yang menjadi identiti negara.

Menurut Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemuliharaan Warisan Institut Arkitek Malaysia, Ar Ahmad Najib Ariffin ia perlu diseimbangkan agar ciri identiti Malaysia yang mempunyai kepelbagaian adat dan budaya dapat diperkenalkan.

“Kita kena hargai bangunan-bangunan lama dan dalam masa yang sama kita mahukan pembangunan, cuma kita kena pastikan ia seimbang dengan mengekalkan apa yang dah ada.

“Jika di Barat, mereka boleh dikatakan mencapai keseimbangan itu seperti di bandar-bandar Eropah terdapat bangunan lama dan baru,” katanya ketika menjadi tetamu Program AWANI Pagi terbitan Astro AWANI pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Najib turut menyatakan rakyat Malaysia kurang menghargai bangunan bersejarah di negara ini.

Katanya kesedaran mengenai perkara itu masih rendah disebabkan masyarakat kurang penghayatan di dalam sejarah yang berlaku di dalam negara.

“Bukanlah mahu katakan orang Malaysia tidak patrotik, tapi saya rasa kita kadang-kadang terlalu berfikir yang semuanya kerajaan buat, kita tidak berfikir yang bangunan warisan ini adalah kita punya juga.

“Jika bangunan warisan kita terbakar adakah kita akan mendapat derma daripada rakyat seperti yang kita lihat di Perancis apabila Gereja Notre Dame terbakar? Berjuta mereka dapat untuk menampung kos membaik pulih jadi kesedaran kita masih tidak sampai ke tahap itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Najib berharap pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan kerja penyelenggaraan dapat membaiki secepat mungkin kerosakan bangunan sekaligus mengurangkan kos membaikpulih bangunan warisan negara.

“Jika kerosakan di bangunan lama dibiarkan begitu sahaja, lama-lama kos membaik-pulih akan meningkat tinggi, sebaiknya jika terdapat walaupun sedikit kerosakan ia perlu dibaiki segera,” ujarnya.

Malah Ahmad Najib juga menyatakan kebimbangan mengenai trend seni bina arkitek dan pemaju yang kini dilihat terlalu mengikut seni bina moden dari negara luar.

“Kita terlalu ikut negara luar sehingga melupakan identiti sendiri, walhal ciri tradisional seni bina warisan sedia ada telah mencukupi untuk mengikut spesifikasi dan pemuliharaan alam sekitar.

“Malah pembinaan masjid kita terlalu nak ikut ciri keislaman seni bina dari luar sedangkan kita mempunyai identiti kita sendiri.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.