Pelancongan Bertanggungjawab ke arah kelestarian industri pelancongan Sarawak – Abang J…

Diposting pada

Pelancongan Bertanggungjawab ke arah kelestarian industri pelancongan Sarawak – Abang J…

Pelancongan Bertanggungjawab ke arah kelestarian industri pelancongan Sarawak - Abang Johari

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak melihat "Pelancongan Bertanggungjawab" sebagai tanggungjawab bagi memastikan industri pelancongan di negeri ini mencapai kelestarian, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg pada Isnin.

Abang Johari berkata selepas memahami persekitaran pelancongan kerajaan Sarawak, portfolio produk dan ekosistem, hanya pelancongan bertanggungjawab dapat menyediakan keseragaman, memenuhi citarasa pelancong, tuan rumah dan Negeri Sarawak secara keseluruhan.

"Pelancongan Bertanggungjawab berkisar kepada pelancongan yang menawarkan tempat-tempat yang lebih baik untuk dikunjungi oleh orang ramai.

"Ia memberi tumpuan kepada apa yang dilakukan oleh individu, perniagaan dan kerajaan untuk memaksimumkan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar yang positif terhadap pelancongan. Ia mengenal pasti isu-isu dalam negara dan menangani secara telus," katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapan perasmian pada majlis makan malam meraikan delegasi Persidangan Pelancongan Dunia 2019 (WTC 2019) di sini pada Isnin. Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

WTC 2019 yang bermula pada 26 Ogos hingga 27 Ogos dianjurkan oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mengakui bahawa Pelancongan Bertanggungjawab tampil dalam pelbagai bentuk dan bercirikan kembara dan pelancongan yang meminimumkan impak negatif terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar untuk penduduk tempatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti selaku hos.

"Pelancongan Bertanggungjawab amat menarik. Ia memberi pengalaman dan perhatian kepada tuan rumah dan alam sekitar. Melalui penglibatan rakyat sebagai nadi Pelancongan Bertanggungjawab, kami memberikan kembali untuk memastikan kemampanan industri itu untuk tahun-tahun akan datang.

"Pelancongan berteraskan alam semula jadi dan landskap memerlukan kita memulihara alam sekitar dan untuk generasi akan datang. Pelancongan kita yang bercirikan budaya kita menjana manfaat untuk tuan rumah dan apabila tuan rumah gembira, tetamu kembali ke negara mereka dengan membawa kenangan indah, " kata beliau,

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan ketibaan lima juta pengunjung tahun ini berbanding 4.4 juta pelawat yang menghasilkan pendapatan RM7.95 bilion hasil pelancongan pada 2018.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.