Pelabur, peniaga Malaysia di luar negara berperanan bantu kerajaan capai status negara …

Diposting pada

Pelabur, peniaga Malaysia di luar negara berperanan bantu kerajaan capai status negara …

Pelabur, peniaga Malaysia di luar negara berperanan bantu kerajaan capai status negara maju 2025

HANOI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pelabur dan peniaga Malaysia di luar negara berganding bahu membantu kerajaan merealisasikan hasrat menjadikan negara mencapai status negara maju menjelang 2025.

Beliau berkata, komuniti berkenaan boleh memainkan penting peranan penting ke arah itu.

Dalam hal ini, Tun Dr Mahathir menarik perhatian bahawa selepas mengambil alih pentadbiran negara tahun lalu, beliau mendapati matlamat Wawasan 2020 yang digariskannya ketika menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sehingga 2003, sudah tersasar daripada matlamatnya.

"Kita tersasar Wawasan 2020, mungkin ia mampu dicapai pada 2025, ini bermakna semua komuniti perniagaan di luar negara  boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berucap di Majlis Makan Malam Diaspora Malaysia di sebuah hotel di Hanoi, Vietnam, sempena lawatan rasmi beliau ke negara Republik Sosialis ini atas jemputan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc yang bermula pada Isnin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa antara yang turut hadir di majlis itu, dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia di Vietnam, sebahagian besarnya adalah komuniti peniaga dan pelabur.

Mei lalu, Tun Dr Mahathir berkata, Malaysia menetapkan sasaran baharu untuk menjadi negara maju dan contoh kepada dunia menerusi Wawasan 2025 selepas tersasar daripada objektif asal.

Dalam ucapan ringkas itu, Tun Dr Mahathir melahirkan rasa gembira melihat semakin banyak rakyat Malaysia melabur dalam pelbagai bidang di luar negara yang bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi Malaysia, malah menyumbang kepada pembangunan negara lain.

"Rakyat Malaysia sekarang menjalankan perniagaan di serata dunia termasuk di negara kurang membangun. Ini perkara yang baik kerana ia boleh membantu dalam pembangunan ekonomi negara rakan.

"Malah, ia bagus kepada ekonomi Malaysia apabila adanya barangan yang boleh kita eksport dan import dari negara berkenaan," katanya.

Perdana Menteri berkata, di sebalik banyak negara di dunia kini berdepan pelbagai cabaran, khususnya ekonomi dan dasar kerajaan yang tidak menguntungkan rakyatnya, Malaysia masih kekal sebagai negara yang baik untuk didiami.

"Di Amerika Latin, Asia Barat dan Afrika misalnya, ramai rakyatnya berhijrah secara beramai-ramai ke negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Negara Asia Tengah juga tidak ketinggalan bermasalah. Begitu juga ada berlakunya ketegangan di India dan Pakistan, Sri Lanka. Malah, Myanmar juga ada masalah.

"Kita negara berbilang kaum dan agama, tetapi di sebalik perbezaan ini kita masih dapat hidup bersama dan tidak berdepan tindakan di mana rakyatnya berhijrah ke negara lain secara beramai-ramai. Jika ada sekali pun, bilangannya tidak besar dan mereka masih mengekalkan pasport Malaysia sebab mahu pulang pada satu hari nanti," kata Perdana Menteri.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.