Najib berkepentingan dalam SRC, berkuasa lantik jawatan penting syarikat – Saksi

Diposting pada

Najib berkepentingan dalam SRC, berkuasa lantik jawatan penting syarikat – Saksi

Najib berkepentingan dalam SRC, berkuasa lantik jawatan penting syarikat - Saksi

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu mempunyai kepentingan dalam urusan SRC International Sdn Bhd.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain berkata bekas perdana menteri yang memegang portfolio Menteri Kewangan ketika itu adalah individu yang berkuasa bagi melantik jawatan-jawatan penting dalam SRC seperti ahli lembaga pengarah, setiausaha dan juruaudit syarikat.

"Selain itu, beliau juga mempunyai kuasa untuk menentukan di mana pelaburan syarikat dibuat," katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-58 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Beliau yang juga pegawai penyiasat kes berkata Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil merupakan individu yang menyeleweng dana SRC berjumlah RM170 juta.

Suhaimi: Ketika pemeriksaan balas  oleh peguam, beliau mencadangkan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) yang menyeleweng wang SRC tetapi kamu menjawab "Kalau Nik Faisal, ya". Boleh terangkan mengapa?

Rosli: Saya menjawab "Kalau Nik Faisal, ya" kerana dia yang membuat pindahan wang RM170 juta dari akaun SRC ke akaun syarikat pembinaan, Putra Perdana Construction Sdn Bhd tanpa mendapatkan persetujuan daripada ahli lembaga pengarah SRC".

Rosli juga menegaskan bahawa dana sebanyak RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Riyadh dan Putera Faisal Turki yang diterima Najib  tidak kena mengena dengan wang SRC yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata ia adalah kerana wang sumbangan itu telah habis digunakan pada Jun 2014 manakala wang SRC pula masuk ke dalam akaun Najib pada Disember 2014.

"Pihak SPRM tidak menjalankan siasatan lanjut mengenai dua entiti berkenaan kerana ia tidak meliputi skop siasatan saya… ini adalah melibatkan dana RM2.6 bilion atau siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiada kaitan dengan SRC," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 22 Okt bagi kedua-dua pihak mengemukakan  hujahan lisan.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.