Mydin kini berusia 62 tahun seusia kemerdekaan negara – Pengarah Urusan Mydin

Diposting pada

Mydin kini berusia 62 tahun seusia kemerdekaan negara – Pengarah Urusan Mydin

Merdeka

SEREMBAN: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), syarikat pemborong dan peruncit hari ini menyambut ulang tahun ke-62 penubuhannya, seusia dengan usia kemerdekaan negara.

Pengarah Urusan Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, syarikat itu mula bertapak di Kota Bahru, Kelantan pada 1957 dan kini memiliki 74 cawangan di seluruh negara dengan 26 daripadanya bertaraf 'hypermarket'.

Sabah menjadi lokasi ke-74 syarikat itu dengan penubuhan cawangan pertamanya di Negeri di Bawah Bayu pada 23 Ogos lepas.

Memilih tema 'Mydin 62 tahun: Utuh Bersama Malaysia' sebagai tema sambutan ulang tahun syarikat itu yang kini memiliki lebih 8,000 pekerja di seluruh negara, Ameer Ali berkata Mydin dilihat masih kekal relevan dan berdaya saing seiring dengan syarikat-syarikat pemborong dan peruncit antarabangsa.

"Mydin kekal positif dan optimis menjadi pasar raya pilihan ramai dan menghargai sokongan berterusan yang diterima terutamanya rakan Plantinum, Mamee dan Paynet serta penaja-penaja yang lain.

"Kami juga berharap pemain industri tempatan juga bijak memainkan peranan dalam menggerakkan dan merancakkan industri domestik ini selari dengan agenda kerajaan yang memperkenalkan Dasar Keusahawanan Negara dalam membina ekosistem dan melahirkan lebih ramai usahawan berjaya pada 2030," katanya dalam ucapan sambutan berkenaan di MYDIN Seremban 2 di sini, hari ini.

Bagi mengukuhkan segmen digital, Mydin, kata Ameer Ali, turut bekerjasama dengan Shopee dalam usaha menawarkan penjimatan yang besar kepada pelanggan menerusi Super Brand Day bermula dari 23 Sept hingga 29 Sept ini.

Bagi menghargai pelanggan, Mydin, kata beliau, turut menawarkan pelbagai promosi dan aktiviti menarik sepanjang 46 hari bermula hari ini sehingga 13 Okt, termasuk peraduan.

Antara promosi yang ditawarkan ialah harga rendah ke atas 62 jenis barangan, baucar percuma MYDIN RM5 kepada warga emas berusia 62 tahun dan penebusan mata ganjaran kepada tiket penerbangan kepada pelanggan yang memiliki kad keahlian Meriah.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Ameer Ali berkata syarikatnya mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 6.7 peratus daripada Januari sehingga Julai tahun ini meskipun berhadapan dengan cabaran semasa ekonomi.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya menghentikan tindakan memboikot barangan tertentu yang disifatkannya sebagai tidak sihat untuk ekonomi dan negara.

"Mustahaknya barangan itu 'made in' (buatan) Malaysia dan kalau sekali pun produk itu keluaran orang Cina atau India, kalau halal, apa salahnya dan harga berpatutan," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.