MIC bangkit semula menawan hati kaum India

Diposting pada

MIC bangkit semula menawan hati kaum India

MIC bangkit semula menawan hati kaum India

AKHIR-akhir ini, gosip orang awam dan  laporan media sosial lebih menumpukan kepada prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah, media sosial turut melaporkan kini, hampir semua parti PH dilanda kekalutan.

Rakyat merentasi kaum merasa gelisah dan kecewa malah keliru dengan  pentadbiran serta dasar-dasar  kerajaan yang diumumkan dari masa ke masa termasuk pengenalan tulisan seni khat di sekolah vernakular atau Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Tamil (SRJKT) mulai tahun hadapan.

Sebahagian besar warga bukan Melayu  keliru dan malah membantah dasar Kementerian Pendidikan yang mengenalkan subjek seni khat di Sekolah Jenis Kebangsaan.

Mereka salah faham bahawa khat adalah seni bahasa dan berkaitan dengan tulisan Jawi yang melibatkan agama Islam dan Al-Quran.

Dengan itu, mereka bimbang kononnya  anak-anak mereka akan dipaksa belajar bahasa Jawi yang akan terdedah dengan agama Islam.

Kebimbangan dan keresahan kaum bukan Melayu terhadap pengenalan khat juga timbul kerana pihak Kementerian Pendidikan kurang memberi penjelasan yang cukup  terhadap kandungan atau silibus pengajaran seni khat.

Ia juga dikatakan kerana tidak  berbincang dengan pihak-pihak yang berkepentingan atau warga bukan Islam terhadap hasrat Kementerian Pendidikan yang akan mengenalkan subjek seni khat itu di sekolah vernakular.

Salah persepsi terhadap dasar pengajaran khat di sekolah vernakular menimbulkan suasana politik yang kecoh dan keliru di kalangan warga bukan Islam terhadap kerajaan PH.

Bantahan Dong Zong

Pertubuhan Dong Zong yang mewakili Pengurusan Sekolah Cina Malaysia  dan pertubuhan-pertubuhan Hindu dan India serta sebahagian besar ahli DAP turut membantah pengenalan khat di sekolah jenis kebangsaan.

Pada masa yang sama, adalah dikesan   hampir semua parti gabungan PH dilanda kekalutan politik. PKR, dilanda konflik antara Presiden dan Timbalan Presiden berkaitan isu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjawat jawatan perdana menteri dan tidak menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DAP pula yang merupakan sebuah parti yang sama kuat seperti PKR turut mengadapai konflik dalaman.

Penasihatnya, Lim Kit Siang bersama Setiauasaha Agong DAP, Lim Guan Eng dilaporkan menyokong pengenalan subjek khat di SJKC dan SJKT manakala satu pihak yang lain, termasuk lebih 138 cawangan dan ahli jawatan kuasa serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di peringkat Parlimen membantah pengenalan khat di sekolah vernakular.

DAP Sarawak pula dilapor menentang keras tindakan kerajaan PH mengenalkan subjek khat di sekolah SJKC dan SJKT.

Pada masa yang sama, Bersatu juga dilaporkan mula menghadapi masalah dalaman iaitu sebahagian besar ahli mula tidak yakin terhadap kepimpinan partinya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengakui bahawa gelombang ahli-ahli mula keluar parti kerana tidak percaya kepada kepimpinan parti itu.

Di sebalik itu, MIC iaitu sebuah parti yang pernah disifatkan sebagai ‘hidup segan mati tidak mahu’ malah akan jatuh tersungkur selepas kalah teruk dalam PRU ke-14 kini dilihat semakin stabil dan kuat sejak Tan Sri S.Vigneswaran dilantik sebagai presiden pada tahun 2018.

MIC juga sebelum ini tidak terlepas daripada kekalutan termasuk kemelut kepimpinan yang hampir melumpuhkan parti.

Malahan, pada PRU ke-12, hampir 85 peratus pengundi India menolak MIC.

MIC bangkit

Namun, MIC kini dilihat bangkit semula malah perpaduan dalam parti ditafsirkan  berada pada tahap yang paling tinggi dalam sejarah.

Vigneswaran dilihat banyak menumpukan perhatian kepada hal-hal menjaga kebajikan ahli-ahli parti sambil membela hak-hak politik mereka.

Perubahan paradigma dalam pendekatan mengurus parti oleh Vigneswaran dikesan mendapat sambutan hebat daripada ahli-ahli yang terdiri daripada hampir empat ratus ribu orang.

Vigneswaran didapati menyuntik semangat baru di kalangan ahli-ahlinya agar parti itu terus relevan kepada masyarakat India.

Antara tindakan Vigneswaran untuk memulihkan semangat ahli-ahli adalah  sikap terbuka terhadap harta MIC.

Beliau melantik seorang akauntan bertauliah pada pertama kalinya dalam sejarah MIC sebagai bendahari untuk mengurus harta parti.

Dengan langkah tersebut, semua harta MIC bukan sahaja  dapat disatukan di bawah satu pentadbiran pusat, malah  menjadi tanggungjawab kepada ahli-ahlinya.

Pada masa yang sama, beliau mendedahkan kepada masyarakat India bahawa MIC bukanlah parti yang bermain politik semata-mata seperti parti lain tetapi juga menumpukan kepada hal-hal pembangunan sosio-ekonomi.

MIC merupakan satu-satunya parti politik yang memiliki Universiti Perubatan (AIMST), Kolej Teknikal  (Tafe), Kolej Profesional Vanto Academy malah menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar India yang kurang mampu untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tinggi dan vokasional.

Sehingga kini, Universiti AIMST sendiri  telah mengeluarkan lebih lima ribu anak India sebagai warga professional termasuk, 1,761 daripada 50,087 doktor perubatan yang berdaftar pada tahun 2016  selain 538 doktor pergigian dan 721 orang ahli farmasi.

Sementara Kolej Tafe pula telah menyediakan lebih 44 ribu anak India dalam bidang pendidikan kemahiran vokasional dan teknikal.

Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) pula telah menyediakan lebih RM145 juta sebagai pinjaman kepada 11,271 pelajar-pelajar daripada kumpulan B40, iaitu hampir 342 pelajar India yang kurang mampu setahun  untuk melanjutkan pelajaran.

MIC sudah lama sebenarnya dilihat bukan sahaja mewakili kaum India dalam politik untuk membela hak-hak legitimasi mereka malah mengambil pelbagai inisiatif progresif untuk membangunkan daya saing dalam usaha meningkatkan martabat sosio-ekonomi mereka dalam negara ini.

Langkah-langkah yang diambil oleh Vigneswaran bukan sahaja membentuk serta menganjak sokongan komuniti India daripada PH kepada sokongan terhadap MIC malah menjadikan parti itu sebagai sebuah parti politik yang kuat dan stabildewasa ini berbanding dengan parti lain.

Dengan itu, tidaklah keterlaluan sekiranya dapat disimpulkan bahawa kestabilan politik dan sokongan kini lebih memihak kepada MIC berbanding parti lain sendiri.


*Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.