Menghiburkan! 'Sangkar' bukan sekadar filem aksi MMA

Diposting pada

Menghiburkan! 'Sangkar' bukan sekadar filem aksi MMA

Menghiburkan! 'Sangkar' bukan sekadar filem aksi MMA

SEBAGAI peminat 'martial art' dan sukan seni bela diri campuran (MMA), tentunya 'Sangkar' merupakan filem terbitan tempatan yang amat dinanti-nantikan penulis.

Mana tidaknya, filem kerjasama mega empat penerbit iaitu penerbit iaitu Astro Shaw, Primeworks Studios, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment ini merupakan filem MMA yang pertama di Malaysia. Belum pernah ada lagi sebelum ini!

Apatah lagi, filem ini diarah oleh pengarah tersohor Kabir Bhatia yang terkenal dengan sinematografinya yang agak 'dark' dan lain dari filem-filem tempatan yang lain.

Okay, seperti yang kita tahu filem ini mengisahkan tentang dua petarung MMA, iaitu Adam (Zul Ariffin) dan pencabar utamanya Johan (Remy Ishak) serta cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi mereka.

Dari segi aksi, 'fight scenes' atau aksi lawan yang dipaparkan dalam filem ini memang sangat meyakinkan.

Pergerakan MMA yang ditonjolkan langsung tidak nampak kekok — seperti menyaksikan pertarungan MMA sebenar.

Jika anda berada di dalam panggung, suasana perlawanan yang dipaparkan membuatkan seolah-olah seperti anda berada di arena atau stadium.

Penulis juga teruja dapat melihat aksi dari beberapa petarung sebenar seperti Jihin Radzuan, James McSweeney dan Davron Kuronboev, selain penampilan dari wajah-wajah 'familiar' MMA seperti Peter Davis, Saiful Merican, Rashid Salleh dan Andy Teh.

Terdapat adegan yang mampu membuat peminat MMA 'meremang' seketika seperti poster-poster UFC dan Bellator yang tertera pada dinding di 'background', serta latihan yang dilalui Adam dan pertarungan ONE Championship yang dipaparkan filem tersebut.

Sungguh pun begitu, filem Sangkar ini juga amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga dan bagi mereka yang bukan 'MMA fan'.

Ini kerana jalan cerita filem ini bukanlah berkisarkan aksi atau pertarungan MMA semata-mata.

Lakonan Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah yang mantap sememangnya memberi impak yang berkesan dalam filem ini.

Namun apa yang membuatkan penulis tertarik ialah gandingan antara Zul dan Remy, serta 'humor bersahaja' yang dipamerkan kedua-dua pelakon itu yang amat mencuit hati.

Persengketaan yang kemudiannya bertukar menjadi persahabatan yang seterusnya membawa kepada pengorbanan, mampu menerapkan rasa insaf kepada sesiapa sahaja yang menontonnya.

Selain mereka, lakonan bintang kanak-kanak Adam Mika juga harus diberi pujian kerana di usia sebegitu, beliau sudah pandai menusuk emosi penonton di samping menonjolkan watak yang cerdik dan berani.

Seorang lagi pelakon yang menghidupkan jalan cerita 'Sangkar' ialah Ray Era.

Watak 'comic relief' acah-acah berani yang dimainkannya berjaya menghiburkan seluruh penonton — membuatkan seluruh pawagam ketawa.

Kalau hendak dirumuskan secara keseluruhan, filem Sangkar berjaya menyentuh semua deria perasaan penulis – sedih, teruja, kelakar, geram, insaf, cemas, semua ada.

Tambah menarik, adegan percintaan pun ada. Tetapi bukanlah sampai 'heavy love story', hanya secukup rasa untuk membuatkan kita tersenyum sendiri dan hati 'berbunga' sedikit.

Secara keseluruhan 'Sangkar' merupakan filem yang harus ditonton, baik anda seorang penggemar MMA ataupun bukan.

Bagi penulis, puas hati juga menontonnya cuma lagi menarik kalau diselitkan lagi babak 'training' dan pertandingan MMA. Tetapi itu hanya pandangan penulis sahaja.

Apa-apa pun setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pembikin dan penerbit filem ini.

Jadi, apakah kesudahan pertarungan Adam dan Johan? Dapatkah mereka harungi dugaan berat yang menimpa? Nantikan kemunculan 'Sangkar' di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 29 Ogos ini.

Jangan lupa gunakan tanda pagar #SangkarMovie untuk berkongsi ulasan tentang filem ini. Selamat menonton!

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.