Mencari persamaan dalam BEDA

Diposting pada

Mencari persamaan dalam BEDA

Mencari persamaan dalam BEDA

RAKYAT Malaysia dan Indonesia, walaupun mempunyai pandangan berbeza, masih berkongsi persamaan dalam banyak perkara.

Atas perbezaan dan persamaan itu mendorong Segaris Art Centre mengumpulkan beberapa bekas pelajar fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bekas pelajar Institut Seni Indonesia (ISI) Yogyakarta dalam satu pameran yang diberi judul BEDA.

Menurut kurator BEDA, Nizam Rahmat, pameran ini bertujuan meraikan kekuatan, semangat, warisan dan hubungan yang telah lama terjalin.

Jelas Nizam, anak syarikat UiTM Art and Design Sdn Bhd itu berusaha untuk bekerjasama dengan fakulti seni atau universiti seni dengan membawa bekas-bekas pelajar untuk mengadakan pameran di negara ini.

"Contohnya dengan Institut Seni Indonesia (ISI), Yogyakarta yang dianggap 'gergasi' dalam melahirkan pelajar-pelajar dalam fakulti seni.

"Kita (Segaris Art Centre) melihat ada perkara yang boleh kita belajar dari pengkarya-pengkarya dari negara luar, jadi kenapa tidak kita bekerjasama.

"Dengan ISI ini kita mulakan dengan membawa mereka ke sini (Kuala Lumpur) dan mungkin selepas ini, kita pula ke tempat mereka (Yogyakarta)," katanya kepada Astro AWANI ketika perasmian pameran BEDA di Segaris Art Centre, Publika, baru-baru ini.

Nizam Rahmat membawakan alumni ISI, Yogyakarta ke Kuala Lumpur bagi mencari persamaan dengan alumni A&D UiTM dalam BEDA

Bercerita lanjut tentang BEDA, Nizam menjelaskan tajuk atau tema itu dipilih kerana beda atau perbezaan merupakan lawan kepada persamaan.

Ujar beliau, dalam perbezaan yang dirasakan terutama dalam bidang seni sebenarnya terdapat banyak juga persamaan antara pengkarya kedua-dua negara.

Pengharapan Yang Pertama karya Edroger Rosili di BEDA Exhibition, Segaris Art Centre

"Selalu kita rasa kita berbeza dengan mereka, berbeza banyak terutama dalam seni, tetapi kalau kita kaji betul-betul sebenarnya tidak ada banyak beza.

"Perbezaan itu tetap ada tetapi masih ada persamaan, antaranya pengkarya atau seniman di kedua-dua negara berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan karya yang bagus di samping mencari rezeki," katanya.

Karya Ilham Fadhli berjudul 'Berhar-hari di bumi larangan (Sidang Pangsa) yang dipamerkan di BEDA

Nizam juga berpendapat dalam perbezaan karya antara kedua-dua negara itu, ada perkara yang boleh dipelajari oleh pengkarya-pengkarya.

"Mungkin ada yang bagus daripada pihak mereka kita boleh belajar dan ada yang bagus daripada pihak kita yang mereka boleh belajar," jelas beliau.

Hendra 'Belankon' Priyadhani hadir dengan karya Time After Time I

Untuk masa hadapan, Nizam berharap agar pengkarya atau seniman di Malaysia dapat setanding dengan seniman di Indonesia dari segi penghasilan karya.

Bagi yang berminat untuk melihat hasil karya bekas pelajar fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UITM dan Institut Seni Indonesia, pameran BEDA berlangsung di Segaris Art Centre, Publika hingga 25 Ogos ini.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.