Lynas sambut baik komen PM mengenai operasi syarikat

Diposting pada

Lynas sambut baik komen PM mengenai operasi syarikat

Lynas sambut baik komen PM mengenai operasi syarikat

KUALA LUMPUR: Lynas Malaysia menyambut baik komen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa eksport sisa penulenan air larut lesap (WLP) bukan menjadi syarat pembaharuan lesen operasi syarikat tersebut.

Ini juga disifatkan Lynas seiring dengan syarat pelesenan sedia ada serta syor oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian kerajaan.

"Aspek pengurusan sisa itu sentiasa menjadi bahagian penting dalam perancangan dan operasi Lynas. Malah Lynas telah mematuhi syarat yang menetapkan bahawa sisa tersebut disimpan secara selamat," kata Pengarah Urusan merangkap Naib Presidennya Datuk Mashal Ahmad serta Pengurus Besar Keselamatan Radiasi, Peraturan dan Pematuhan syarikat itu, Prof Dr Ismail Bahari dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Menurut mereka, sisa tersebut disimpan dalam fasiliti pelupusan tetap (PDF) yang telah diluluskan oleh pihak Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Ini turut disahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian yang mendapati operasi Lynas Malaysia adalah menepati peraturan relevan dan fasiliti simpanan sisa tersebut diuruskan dengan betul.

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata Lynas boleh menyimpan sisa pemprosesan nadir bumi dari lojinya di Gebeng, Kuantan dengan syarat ia membina dan menyelenggara kemudahan bagi pembuangan sisa tersebut.

Mashal dan Ismail berkata Lynas juga telah mematuhi syarat pelesenan untuk menyiapkan penyelidikan bagi mengenal pasti pilihan penggunaan sisa itu secara selamat.

Mereka berkata jika PDF menjadi keutamaan kerajaan, maka aspek amalan semasa pengurusan sisa, penyelidikan beserta amalan terbaik antarabangsa, boleh dilaksanakan bagi mengenal pasti pilihan tepat membabitkan penggunaan bahan tersebut.

"Misalnya terdapat beberapa lombong yang tidak digunakan di Negeri Pahang yang memerlukan pemulihan dan PDF boleh dihasilkan bagi membantu aspek pemulihan tanah dan memberi faedah alam sekitar secara mampan."

Menurut mereka, syarikat itu juga telah mendepositkan AS$42.2 juta dengan kerajaan Malaysia dalam bentuk bon tunai dan sokongan tunai bagi tujuan pembiayaan pengurusan sisa jangka panjang.

"Kami akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Pahang dan badan kawal selia berkaitan untuk melaksanakan pelan ini dengan jayanya," kata mereka.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.