Lynas: Penduduk buat laporan terhadap Wong Tack, Pengerusi SMSL

Diposting pada

Lynas: Penduduk buat laporan terhadap Wong Tack, Pengerusi SMSL

Lynas: Penduduk buat laporan terhadap Wong Tack, Pengerusi SMSL

KUANTAN: Penduduk kampung di Balok di sini hari ini, membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) Tan Bun Teet berhubung isu kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Ketua Kampung Balok, Mansor Mokhtar yang mewakili penduduk kampung berkata, tindakan itu diambil kerana Wong Tack dan Tan didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan mereka mewakili penduduk menentang operasi Lynas di Gebang di sini, yang terletak berhampiran kampung itu.

"Kami tidak pernah melantik mereka sebagai wakil atau jurucakap kami selain mereka juga mendakwa telah mendapat sokongan penduduk di sini bersama-sama sokongan 80 ke 90 badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantah operasi Lynas.

"Sebagai penduduk di sini, kami terkilan kerana tidak pasti dengan kesahihan NGO yang didakwa memandangkan berdasarkan senarai, ada yang terletak di Miri, Sarawak," katanya selepas membuat laporan itu di Balai Polis Beserah di sini, pada Jumaat.

Sehubungan itu, Mansor memohon polis untuk menyiasat perkara itu yang disifatkan beliau sebagai mencurigakan dan mahu penduduk kampung tidak dijadikan alat untuk pihak berkenaan memperdayakan orang awam.

Pada laporannya, Mansor mendakwa Wong Tack telah mengeluarkan kenyataan pada 31 Mei lepas bahawa penduduk Kuantan tidak mahu Lynas beroperasi di Pahang tanpa berjumpa atau meminta pandangan penduduk kampung.

Manakala Tan pula didakwa telah membuat laporan polis pada 19 Jun berhubung pencemaran air yang dikatakan berpunca daripada operasi Lynas dengan mengaitkan penduduk dalam laporan itu tanpa meminta persetujuan mereka.

Sedangkan menurut Mansor, mereka mempercayai keterangan pakar yang mengatakan operasi Lynas selamat selain Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Air, Tanah dan Alam Sekitar telah mengeluarkan kenyataan tiada pencemaran air akibat kilang itu.

"Kami juga menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan Lynas terus beroperasi yang pada pandangan kami dibuat berdasarkan fakta saintifik dan mahu dua individu yang disebut tidak lagi mempolitikkan isu Lynas," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.