Lelaki maut dipercayai lemas di Air Terjun Pelangi

Diposting pada

Lelaki maut dipercayai lemas di Air Terjun Pelangi

Lelaki maut dipercayai lemas di Air Terjun Pelangi

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai maut akibat lemas di Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing di sini hari ini, selepas dikatakan tenggelam semasa sedang mandi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa, Joshua Sia Hanyang, 31, yang beralamat di Kuala Lumpur, dipercayai datang ke air terjun itu bersama kawannya pada 6.45 pagi.

Mangsa yang mandi di air terjun berkenaan, dikatakan tenggelam kira-kira 8.45 pagi menyebabkan rakannya dengan bantuan orang awam di situ mula mencari mangsa di dasar air terjun, katanya.

"Kawan mangsa mendakwa dia dan orang awam dapat menarik mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke tepi air terjun sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Pasukan bomba tiba di kawasan air terjun kira-kira 12.30 tengah hari kerana perlu mendaki untuk ke situ, dan terus membawa mangsa turun ke kawasan Lubuk Beruk untuk dibawa keluar," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Mohamad Noor berkata operasi membawa turun mangsa dengan mengusung menerusi laluan darat turut disertai anggota polis dan bomba sukarela dari Sungai Lembing.

Katanya, pegawai perubatan yang menunggu di Balai Polis Sungai Lembing mengesahkan mangsa telah meninggal dunia selepas membuat pemeriksaan.

"Siasatan awal terhadap mangsa mendapati tiada kesan luka atau lebam pada tubuhnya dan setakat ini, tiada unsur jenayah disyaki berlaku," katanya.

Mohamad Noor berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.