Lelaki langgar Syed Muhammad Danial didakwa membunuh

Diposting pada

Lelaki langgar Syed Muhammad Danial didakwa membunuh

Lelaki langgar Syed Muhammad Danial didakwa membunuh

KAJANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pegawai bank, dalam satu kemalangan berhampiran persimpangan Southville City, Kajang, dua minggu lalu.

Yew Wei Liang, 41, mengangguk faham pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Bagaimanapun pengakuan tidak direkodkan kerana ia bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja dalam bidang IT itu didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29, di kilometer 293.6 Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS) arah Kuala Lumpur- Seremban) pada 10 Ogos 2019 antara jam 1 petang hingga 2 petang.

Dakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh yang diwakili peguam S. Selvam mengemukakan aduan di hadapan majistret mengikut Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah supaya mendengar aduan mereka berhubung satu insiden yang menimpa anak guamnya.

Selvam mendakwa, anak guamnya telah didera dan mengalami kecederaan semasa tempoh reman oleh polis sehingga perlu dibawa ke Hospital Kajang pada 13 Ogos lalu untuk rawatan.

Jelasnya anak guamnya telah dipaksa mengaku salah atas tuduhan membunuh sedangkan anak guamnya tetap dengan pendiriannya bahawa ianya merupakan satu kemalangan jalan raya.

Sementara itu, peguam Varghese Onny turut mendakwa, pihaknya dimaklumkan oleh bapa tertuduh bahawa bapa tertuduh telah menerima satu panggilan telefon pada 18 Ogos lalu yang dikenalpasti merupakan nombor telefon isteri tertuduh sedangkan telefon tersebut berada dalam simpanan polis.

"Sehubungan itu kami memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk mendengar aduan ini," katanya.

Afidah kemudiannya menetapkan tarikh 27 September depan untuk sebutan kes selain menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan itu.

Afidah turut memerintahkan peguam tertuduh mengemukakan laporan hospital mengenai kecederaan berkaitan isu yang dibangkitkan.

Wei Liang dihantar ke penjara Sungai Buloh sehingga selesai kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Syed Muhammad Danial maut dilanggar selepas terbabit perselisihan faham dengan tertuduh.

Kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek yang berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Kereta Syed Muhammad Danial sebelum itu dikatakan terlanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar mengejar antara mereka.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.