Laporan kemiskinan PBB: KPM akan dapatkan pandangan pakar ekonomi – Maszlee

Diposting pada

Laporan kemiskinan PBB: KPM akan dapatkan pandangan pakar ekonomi – Maszlee

Laporan kemiskinan PBB: KPM akan dapatkan pandangan pakar ekonomi - Maszlee

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan akan mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar ekonomi sebelum meminda sebarang polisi terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) melibatkan kementerian itu.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata laporan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) tentang situasi kadar kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan perlu diperhalusi.

"Saya rasa, saya perlu mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pakar-pakar ekonomi kita yang ada di universiti-universiti. Mungkin mereka mempunyai beberapa pandangan.

"Apa-apa polisi yang kita (Kementerian Pendidikan) lakukan, ia mesti melibatkan semua pihak untuk memberi pandangan dan juga sumbang saran.

"Kita akan cuba membawa pakar-pakar ekonomi untuk membincangkan perkara tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek YSS Perpustakaan Mini dan Tuition Mission Percuma Golongan B40 PPR 2019 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, di sini pada Sabtu.

BACA: Kaji balik laporan PBB mengenai kadar kemiskinan di Malaysia – Tun Mahathir

Dalam satu laporan yang didedahkan pada Jumaat, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

Mengulas berkenaan inisiatif pendidikan bagi golongan B40, Maszlee berkata para pensyarah disaran menjalankan kajian berkenaan sistem pengajaran sampingan untuk para pelajar dalam golongan itu.

"Saya menyeru kepada ahli akademik kita supaya terlibat dengan program-program seumpama ini dengan menjalankan kajian kerana kita yakin program seumpama ini mempunyai impak jangka masa panjang.

"Para pensyarah, profesor dan pengkaji, saya kira mereka perlu turut bersama dengan kerja-kerja seumpama ini, bukan sekadar menjadi tenaga (pengajar), tetapi juga membuat kajian kerana kita tahu, apa yang kita lakukan ini, kesannya tidak berlaku esok lusa, tetapi impaknya dalam tempoh dalam jangka masa panjang.

"Ini akan membantu kita untuk memperbaiki segala usaha seumpamanya dan membantu negara-negara membangun lain mempelajari usaha yang kita lakukan," katanya.

Justeru, jelasnya pihak KPM akan akan memastikan geran-geran kajian akan diperuntukkan secukupnya untuk kajian terhadap program-program seumpama ini.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.