Kes rasuah Ahmad Zahid didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam

Diposting pada

Kes rasuah Ahmad Zahid didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam

Kes rasuah Ahmad Zahid didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan yang dibuat Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

"Berdasarkan rekod prosiding di Mahkamah Sesyen dalam memindahkan tujuh pertuduhan itu ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, tidak juga perintah pemindahan itu dikatakan dalam apa juga cara sebagai tidak mengikut undang-undang atau tidak sesuai untuk mewajarkan mahkamah ini supaya menyemak semula perintah pemindahan oleh Mahkamah Sesyen.

"Berdasarkan alasan di atas saya menolak permohonan ini," katanya, dan menambah, satu-satunya isu berbangkit adalah hujah bahawa ia bagi kesenangan saksi untuk pertuduhan itu didengar di Kuala Lumpur dan bukan di Shah Alam.

"Bagaimanapun, di Malaysia pada masa ini hanya ada sedikit perbezaan antara Shah Alam dan Kuala Lumpur berdasarkan kepada pembangunan yang dibuat kepada sistem jalan raya dan pengangkutan di Lembah Klang.

"Selain itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk melihat mereka yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya menetap di Shah Alam atau sebaliknya, dan ini tidak diambil kira kepada bakal saksi pembelaan sekiranya mereka dipanggil memberi keterangan," katanya.

Pihak pendakwaan memohon untuk menyemak keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad pada 31 Julai lepas yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan kes itu untuk dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun berhujah bahawa saksi-saksi pendakwaan berpusat di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan fakta ini telah dinyatakan dalam afidavit jawapan pendakwaan.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid berkata walaupun kes itu didengar di Mahkamah Shah Alam, ia tidak akan membebankan mana-mana saksi untuk hadir.

Pada 26 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah SGD4.24 juta membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN), dua tahun lepas.

Bagi semua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa telah menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem VLN.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.