Kerajaan P.Pinang tidak keluarkan satu sen pun bagi PSP – Jagdeep

Diposting pada

Kerajaan P.Pinang tidak keluarkan satu sen pun bagi PSP – Jagdeep

Kerajaan P.Pinang tidak keluarkan satu sen pun bagi PSP - Jagdeep

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak mengeluarkan walau satu sen pun bagi projek sistem parkir pintar, Penang Smart Parking (PSP), kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo pada Khamis.

Beliau berkata projek itu, yang membabitkan kos RM115 juta, sebenarnya adalah inisiatif pembiayaan swasta yang mana syarikat terbabit, HeiTech Padu Sdn Bhd (HTP), menanggung sepenuhnya kos pelaksanaan dan pengoperasian sistem letak kenderaan bagi tempoh kontrak tujuh tahun.

"Sepanjang kontrak tujuh tahun itu, hasil yang diperoleh daripada kutipan bayaran letak kenderaan akan dikongsi antara HTP, MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) pada nisbah 65:35 bagi lima tahun pertama dan 60:40 bagi dua tahun berikutnya," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata jangka masa tetap bagi projek PSP telah diberikan untuk HTP menyelesaikan masalah yang dihadapi selepas aplikasi PSP dilancarkan.

"Saya dimaklumkan bahawa isu pertama, iaitu aplikasi ini tidak boleh diperoleh oleh pengguna Android, telahpun diselesaikan dan kini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store," kata Jagdeep, dan menambah, terdapat beberapa gangguan kecil teknikal semasa membangunkan aplikasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HTP Abdul Halim Md Lassim yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata kelewatan di luar jangka dalam penghantaran sensor ruang letak kereta dari Hong Kong mengakibatkan mereka tidak dapat memasang 997 sensor yang disasarkan bagi PSP semasa fasa percubaan.

"Stok itu masih terkandas di Lapangan Terbang Hong Kong dan kami sedang dalam proses mengusahakan supaya sensor itu dihantar menerusi jalan laut dan konsainmen dijangka tiba di Kuala Lumpur sebelum 29 Ogos manakala di Pulau Pinang sebelum 6 Sept," katanya, sebagai menjelaskan sebab hanya 30 sensor dipasang sepanjang tempoh itu.

HTP merancang untuk memasang 36,000 sensor di bawah PSP sebelum Julai 2020.

Mengenai aduan daripada seorang pengguna yang menerima notis kompaun sungguhpun telah menyelesaikan bayaran letak kenderaan menerusi ciri-ciri "Park N Pay" dalam aplikasi itu, beliau mengakui terdapat gangguan kecil, mengakibatkan sistem itu tidak dapat mengesan pembayaran tetapi perkara itu telah diperbetulkan.

Beliau turut menggesa pengguna aplikasi supaya menghubungi 03-8026 8128 atau support_psp@htpsmartsolution.com.my jika mereka menghadapi sebarang masalah berkaitan aplikasi PSP.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.