Kerajaan disaran beri kuasa JKM lakukan ujian urin pesalah bawah umur

Diposting pada

Kerajaan disaran beri kuasa JKM lakukan ujian urin pesalah bawah umur

Kerajaan disaran beri kuasa JKM lakukan ujian urin pesalah bawah umur

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meminda undang-undang berkaitan dadah dengan memberi kuasa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan ujian air kencing terhadap pesalah bawah 18 tahun yang terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata sudah tiba masanya undang-undang berkaitan dadah, khususnya melibatkan pesalah bawah umur disemak semula untuk menilai keberkesanannya dalam usaha menangani jenayah itu yang sehingga kini masih diletakkan sebagai musuh nombor satu negara.

"Saya sarankan, jika yang terlibat itu adalah kanak-kanak seperti dalam peruntukan Akta Kanak-Kanak, maka punca kuasa undang-undang hendaklah jelas iaitu jika tiada kebenaran ibu bapa, maka pegawai JKM hendaklah diberikan kuasa untuk menjalankan ujian air kencing terhadap mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengkaji semula keberkesanan kempen pencegahan dadah dalam kalangan remaja dengan menjurus ke arah menangani punca-punca penagihan dari segi sosial.

Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan kaedah menangani penyalahgunaan dadah juga harus selaras dengan hasrat kerajaan untuk dikriminalisasi penagihan dadah, serta akan melibatkan kerjasama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kamal Affandi berkata individu bawah umur yang disahkan mengalami ketagihan dadah tidak boleh ditempatkan di pusat pemulihan bersama-sama pesalah dewasa kerana mereka tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

"Kebajikan dan proses pelaksanaan pesalah bawah umur, ketika menjalankan ujian air kencing dan pemulihan dadah berbeza sama sekali," jelasnya yang turut menyokong hasrat kerajaan untuk mengkaji semula keberkesanan kempen pencegahan dadah dalam kalangan remaja kerana ia bertepatan dengan pemodenan sistem sosial negara.

Bagi Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pula, strategi pencegahan yang komprehensif pada peringkat nasional sememangnya diperlukan dalam usaha menangani masalah penagihan dadah apabila hampir 50 peratus perlakuan jenayah di negara ini ada kaitan dengan dadah.

Katanya bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah, adalah amat penting kerajaan membuat penilaian semula secara menyeluruh semua dasar, pendekatan, operasi dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah di samping setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan dalam pembentukan sosial komuniti.

"Sebuah jawatankuasa perlu ditubuh untuk membantu mengkaji semula dasar serta pendekatan yang ada dan memperkenalkan 'polisi baharu dadah yang rasional' yang mampu menangani masalah dadah secara efektif dan komprehensif.

"Satu analisis menyeluruh mengenai kegagalan pelbagai program dan inisiatif untuk menangani isu dadah yang selama ini hanya memberi tumpuan kepada penangkapan dan menghukum penagih juga perlu dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Lee menyokong keputusan kerajaan untuk mendikriminalisasi (tidak menjenayahkan) penagih dadah kerana mereka tidak seharusnya dilihat sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan.

Namun begitu jelasnya, langkah itu bukanlah bermakna kerajaan ingin menggalakkan penyalahgunaan dadah kerana pengedaran dadah akan kekal sebagai jenayah.

"Walaupun masalah dadah di Malaysia belum mencapai tahap negara-negara lain seperti Colombia, ia bakal menuju keadaan tersebut jika tiada langkah drastik diambil untuk mengatasinya," jelasnya yang mengatakan Malaysia telah gagal dalam usaha memerangi dadah selama ini berikutan jumlah penagih yang masih meningkat.

Sementara itu, menurut statistik di laman sesawang Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bilangan penagih yang dikesan mengikut status kes yang dilaporkan pada 2018 menurun sebanyak lima peratus atau 17,474 kes baharu berbanding 18,440 kes pada 2017.

Rekod bagi kes berulang pada tahun lepas pula meningkat sebanyak empat peratus iaitu kepada 7,793 berbanding 7,482 pada 2017.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.