Kawasan pencarian dua warga Singapura diperluas

Diposting pada

Kawasan pencarian dua warga Singapura diperluas

Kawasan pencarian dua warga Singapura diperluas

JOHOR BAHRU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Endau-Mersing, Khamis lalu, diperluaskan kepada 500 batu nautika persegi hari ini.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kawasan pencarian kini merangkumi bahagian utara Pulau Seri Buat, Pahang sehingga barat laut Pulau Tioman.

Beliau berkata operasi SAR melibatkan kekuatan 50 anggota SAR dari pelbagai agensi serta bantuan helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata anggota SAR berdepan dengan cabaran apabila berdepan dengan keadaan tiupan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara satu hingga 1.5 meter di kawasan perairan Timur Johor hari ini.

Ia diburukkan lagi dengan keadaan jerebu yang sedang melanda perairan Johor yang menjejaskan jarak penglihatan pasukan penyelamat di lautan, katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Aminuddin Abdul Rashid, dalam satu kenyataan berkata, satu sesi taklimat dan soal jawab telah diadakan antara pihaknya, Konsulat Singapura ke Johor, Rajpal Singh dan ahli keluarga kedua-dua mangsa, hari ini.

Ia bagi memberi penjelasan mengenai misi mencari dan menyelamatkan mangsa, katanya.

Mangsa, dikenali sebagai Tan Eng Soon, 62, (lelaki) dan Puah Geok Tin, 57 tahun (wanita), dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka yang sedang berkayak dari Endau-Mersing menuju ke Pulau Mertang, kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu.

Mereka dikatakan terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.