Kabinet setuju pelaksanaan gojek – Redzuan

Diposting pada

Kabinet setuju pelaksanaan gojek – Redzuan

Kabinet setuju pelaksanaan gojek - Redzuan

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek, dan jemaah menteri memutuskan agar kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Menteri Pembangunan dan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata keputusan telah dibuat supaya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melaksanakan tanggungjawab mewujudkan ruang serta undang-undang untuk Go-Jek dimajukan.

Beliau berkata sekiranya pelaksanaan perkhidmatan memerlukan undang-undang baharu diperkenalkan, atau undang-undang sedia ada dilonggarkan, maka perkara itu perlu dikaji oleh MOT serta KBS, dan dibentangkan untuk persetujuan jemaah menteri.

"Ada lampu hijau (daripada Kabinet) untuk diperincikan dalam bentuk membuka ruang dan undang-undang supaya proses yang kita nak laksanakan ini tidak melanggar undang-undang sedia ada," katanya kepada media selepas pelancaran Tekun Mart Mobile di sini hari ini.

Menurutnya, dalam usaha kerajaan membangunkan ekonomi anak muda, segala projek yang ingin dilaksanakan perlu mengikut undang-undang.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membentangkan usul dan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan program itu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan menolak tanggapan bahawa beliau adalah antara individu yang didakwa membodek Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu projek Lynas.

"Saya adalah menteri yang tidak membodek sesiapa dan saya turut memberikan kritikan yang konstruktif terhadap Dr Mahathir. Apa yang dipersetujui Kabinet adalah dibuat secara konsensus untuk kepentingan negara," katanya.

Sebuah portal melaporkan mengenai paparan skrin yang dikatakan perbualan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dengan seseorang menerusi aplikasi WhatsApp, yang mendakwa beberapa menteri cuba membodek Dr Mahathir berhubung isu Lynas.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 15 Ogos mengumumkan bahawa kerajaan melanjutkan lesen operasi bagi kilang pemprosesan nadir bumi yang dimiliki pelombong Australia, Lynas Corp, bagi tempoh enam bulan lagi.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.