Isu tulisan khat: Hanya tekap, sambung titik, tiru semula sahaja

Diposting pada

Isu tulisan khat: Hanya tekap, sambung titik, tiru semula sahaja

Isu tulisan khat: Hanya tekap, sambung titik, tiru semula sahaja

KUALA LUMPUR: Tekap, sambung titik pada huruf jawi dan tiru semula untuk dijadikan seni khat, hanya itu yang perlu dilakukan oleh murid Tahun Empat termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) apabila tulisan khat diperkenalkan sebagai antara kandungan subjek Bahasa Melayu tahun depan.

Pensyarah Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr S Vijayaletchumy berkata perkara itu hanya akan diajar empat kali setahun dalam tempoh 10 minit terakhir sebagai bahan sokongan kemahiran bahasa sesi pengajaran Bahasa Melayu.

Vijayaletchumy yang merupakan antara ahli panel terlibat dalam menggubal kurikulum itu turut menegaskan untuk sesi pembelajaran itu, lima hingga enam aksara daripada tulisan jawi sahaja yang akan diperkenalkan kepada murid.

"Masyarakat serta pihak tertentu sebenarnya sudah salah faham atau keliru antara tulisan jawi dengan tulisan khat. Ia merupakan perkara yang berbeza.

"Tulisan jawi merupakan tulisan rasmi manakala tulisan khat merupakan salah satu aspek seni bahasa atau kaligrafi dalam Bahasa Melayu yang melibatkan tulisan jawi ditulis secara berangkai menjadi tulisan khat.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan seni khat dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan Bahasa Melayu yang mempunyai nilai estetika tersendiri… yang diajar adalah seni khat dan bukan tulisan jawi, jadi ia merupakan salah faham," katanya kepada Bernama ketika ditemui di UPM, pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ibu bapa murid SJKC dan SJKT tidak perlu risau kerana ia tidak langsung melibatkan pembelajaran berunsur agama Islam kerana khat hanyalah seni kaligrafi sama seperti kaligrafi Cina.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 yang menimbulkan polemik dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu termasuk 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil di negara ini.

Menjelas tentang perkara itu, Vijayaletchumy berkata pembelajaran Bahasa Melayu mempunyai lima bahagian penting iaitu melibatkan tiga kemahiran (mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis) dua lagi merupakan aspek tatabahasa serta seni bahasa.

"Pengajaran seni khat ini merupakan terkandung dalam seni bahasa dan ia tidak akan dinilai sama sekali dalam penilaian pencapaian murid. Hal ini telah dinyatakan secara jelas dalam Dokumen Standard Kurikulum Pendidikan (DSKP).

"Murid akan belajar perkara ini secara santai dan ia adalah unsur tambahan sahaja. Ini juga merupakan psikomotor sebab seni tulisan khat ini akan memerlukan murid untuk memanjangkan tulisan ke kiri, ke kanan ke bawah dan sebagainya.

"Ia juga baik untuk minda kerana murid juga akan lebih seronok dan santai untuk belajar disebabkan tidak ada tekanan untuk mereka diuji dan lulus membolehkan sesi pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan lebih baik," katanya

Dalam masa yang sama pengenalan pembelajaran seni khat itu juga katanya tidak akan menyebabkan berlaku pertambahan guru di sekolah kerana ia akan menggunakan tenaga pengajar yang sedia ada.

Selain itu, ibu bapa tidak perlu risau tentang soal kos kerana semua alatan yang akan digunakan pembelajaran itu akan ditanggung oleh pihak kementerian.

Sehubungan itu beliau juga berharap isu ini tidak terus dipolitikkan untuk kebaikan generasi akan datang, tambahan lagi kurikulum yang diperkenalkan oleh kerajaan ini telah dibincang dengan teliti dan disepakati lebih 30 ahli bahasa, guru sekolah SJKT dan SJKC yang terlibat dalam panel khas berkenaan.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.