Hari Kebangsaan di Putrajaya sentiasa istimewa

Diposting pada

Hari Kebangsaan di Putrajaya sentiasa istimewa

Merdeka

PUTRAJAYA: Tahun ini, Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan, yang merupakan kali keempat sebagai tuan rumah, namun ia masih tetap istimewa.

Istimewanya Hari Kebangsaan 2019, Putrajaya akan menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong baharu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan itu esok.

Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Juga istimewanya sambutan pada tahun ini ialah apabila orang nombor satu dalam perkhidmatan kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengetuai sendiri perarakan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam.

Perarakan berkuda itu akan melibatkan 44 ekor kuda dari unit berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"KSN mengetuai pasukan ini sebagai tonggak (perkhidmatan awam)," kata Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Penyertaan kontinjen berkuda itu juga menjadikan kuda sebagai satu-satunya haiwan yang terlibat dalam acara perarakan itu.

Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, lebih 1,000 pelajar sekolah bergabung membuat persembahan khas menampilkan analogi sifat anai-anai sebagai simbolik kejelikan jenayah rasuah serta rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan negara hancur akibat jenayah itu.

Dengan jangkaan 500,000 pengunjung hadir pada 31 Ogos ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pihak bertanggungjawab untuk menyelaras persiapan logistik buat pertama kalinya menyediakan kemudahan tempat duduk bertingkat bagi orang awam, yang mampu memuatkan sehingga 4,000 orang.

Lebih 15,000 peserta dan lebih 300 aset terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019.

Putrajaya pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005 dan tahun lepas (2018).

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.