Gangguan sistem KLIA: Beberapa penerbangan ditangguh

Diposting pada

Gangguan sistem KLIA: Beberapa penerbangan ditangguh

Gangguan sistem KLIA: Beberapa penerbangan ditangguh

SEPANG: Beberapa penerbangan ditangguhkan pada Khamis, selepas kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mengalami gangguan sistem sementara.

Sehingga jam 10.30am tadi, terdapat 20 penerbangan dilaporkan ditangguhkan di terminal utama KLIA dan penerbangan terjejas termasuk ke Narita, Jepun; Perth, Sydney dan Melbourne, Australia; Jakarta, Indonesia; London dan Hong Kong.

Gangguan itu telah menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Operator Lapangan terbang itu, Malaysia Airports dalam satu kenyataan pada 8 malam ini, memaklumkan gangguan sistem di KLIA sehingga kini masih belum benar-benar pulih.

"Kami berharap akan dapat menyelesaikan situasi ini, pada esok pagi (23 Ogos)," kata Malaysia Airports.

Malaysia Airports juga menasihati para penumpang untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam, sebelum waktu penerbangan berlepas.

Situasi di terminal utama KLIA secara amnya terkawal, walaupun boleh dilihat keadaan di mana terdapat penumpang beratur panjang dan bersesak, akibat daftar masuk di kaunter secara manual.

Duta Airport CARE turut berada di sekitar terminal untuk membantu penumpang.

Penumpang juga dilihat diberi bantuan dan panduan, di kios daftar masuk sendiri.

Malaysia Airports berkata, mereka telah mengerahkan lebih ramai kakitangan membantu, dengan jumlah ini kini hampir mencecah 1,000 orang, bagi memberikan bantuan yang diperlukan penumpang dan juga syarikat penerbangan.

"Harap dapat bertemu mana-mana kakitangan lapangan terbang yang ada, jika anda memerlukan bantuan mengenai meklumat penerbangan anda," katanya.

Malaysia Airports berkata, pasukan mereka akan terus bekerja tanpa henti, bagi mengawal situasi.

Antara tindakan yang sedang diambil termasuklah penggantian peralatan, dan mereka telah menerima penghantaran peralatan tersebut yang akan diuji malam ini," katanya.

"Kami kesal atas segala kesulitan yang dialami kesemua penumpang," kata Malaysia Airports.

Sementara itu Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah ketika dihubungi berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan di KLIA dan klia2 dan sentiasa bersedia untuk mengambil langkah sewajarnya, jika keadaan memerlukan.

Beliau berkata anggota dan pegawai yang ditugaskan di dua pintu masuk negara itu, bertugas seperti biasa dan setakat ini keadaan adalah terkawal, walaupun bilangan penumpang agak tinggi berbanding biasa.

"Jumlah anggota yang ditugaskan di sana sudah mencukupi dan buat masa ini belum ada keperluan untuk menambah bilangan anggota sedia ada," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.