Gagasan Sejahtera terima kerjasama Pas – UMNO

Diposting pada

Gagasan Sejahtera terima kerjasama Pas – UMNO

Gagasan Sejahtera terima kerjasama Pas - UMNO

PUTRAJAYA: Gagasan Sejahtera, gabungan parti politik yang terdiri daripada Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), hari ini menerima kerjasama politik penyatuan ummah di antara Pas dan UMNO.

Pengerusi Gagasan Sejahtera yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia diputuskan kepimpinan tertinggi gabungan itu pada mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera yang diadakan di sini, hari ini.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat yang turut dihadiri Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Presiden Berjasa, Abdul Kadir Mamat, Abdul Hadi berkata, kerjasama politik itu dijalankan atas kerangka taawun siyasi.

Dalam kerjasama itu, Pas mewakili Gagasan Sejahtera seperti mana UMNO mewakili Barisan Nasional (BN), katanya.

Abdul Hadi berkata, mesyuarat itu turut bersetuju mengukuhkan kerjasama politik dalam kalangan parti komponen Gagasan Sejahtera dalam aspek visi, misi dan organisasi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi mengulangi pendirian parti itu menyokong tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kekal dengan keputusan tidak menghantar penceramah bebas, Dr Zakir Naik pulang ke India.

Beliau berkata, keputusan Dr Mahathir itu adalah selaras dengan Konvensyen Geneva iaitu setiap negara mesti melindungi mana-mana orang yang dipercayai tidak akan diadili dengan adil di negara mereka.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan memutuskan kerajaan tidak akan menghantar Zakir pulang, mengulangi pendirian itu pada Khamis lepas selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.

Abdul Hadi berkata, Pas juga telah bertemu dan menasihatkan Zakir supaya lebih berhati-hati dengan isu politik negara dalam menyampaikan syarahannya. – BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.