Dua 'nak muay' Kelantan wakili Malaysia ke aksi ONE di Vietnam

Diposting pada

Dua 'nak muay' Kelantan wakili Malaysia ke aksi ONE di Vietnam

Dua 'nak muay' Kelantan wakili Malaysia ke aksi ONE di Vietnam

KUALA LUMPUR: Dua petarung Malaysia bakal menggegarkan pentas ONE Championship di Vietnam, pada 6 September ini menerusi acara ONE: Immortal Triumph.

Menurut kenyataan dari ONE, aksi yang bakal berlangsung di Ho Chi Minh City itu akan menampilkan dua atlet Muay Thai negara, iaitu Azwan Che Wil dan Mohamad Fakri Yusoff.

Azwan, 24, akan bertemu peserta tuan rumah, Tran Duy Nhat dalam saingan flyweight ONE Super Series.

Berasal dari Kelantan, Azwan mula bergiat dalam sukan Muay Thai sejak berumur 13 tahun.

Dia dikatakan mahir menggunakan sikunya, dan pernah menumpaskan lawannya dengan ‘knockout’ menerusi pukulan jarak dekat.

Bergelar ‘N41 Makik Urai’, Azwan sudah bertarung sebanyak 50 perlawanan dalam masa tiga tahun — kebanyakannya di Malaysia dan Thailand.

Dia juga pernah bertarung dengan rakan senegara, Mohammed ‘Jordan Boy’ Mahmoud selain beraksi dalam acara ONE: Conquest Of Champions di Manila, November tahun lalu menentang petarung dari China, Han Zi Hao.

Seorang lagi atlet negara, Mohamad Fakri pula bakal bertemu petarung dari United Kingdom, Michael Pham.

Mohamad Fakri yang juga berasal dari Kelantan, akan beraksi dalam saingan featherweight ONE Super Series Muay Thai.

ONE: Immortal Triumph merupakan acara pertama ONE Championship yang dianjurkan di Vietnam.

Tambah menarik, seluruh jadual pertarungan adalah untuk ONE Super Series.

Ini bererti sukan tempur Muay Thai dan kickboxing bakal mendominasi acara ONE kali ini.

Sementara itu, bagi acara utama, ONE Championship mempertaruhkan kejuaraan ONE Bantamweight Muay Thai-nya.

Ia adalah pertarungan antara juara bertahan, Nong-O Gaiyanghadao dan pencabar terbaharunya, Brice Delval.

Manakala acara ‘co-main event’ pula bakal menyaksikan pertarungan antara Saemapetch Fairtex dan Rafi Bohic.

Ia juga merupakan pertarungan bagi kategori bantamweight untuk ONE Super Series Muay Thai.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.