Deruman enjin trak, helikopter dinanti dan ditakuti isteri komando

Diposting pada

Deruman enjin trak, helikopter dinanti dan ditakuti isteri komando

Deruman enjin trak, helikopter dinanti dan ditakuti isteri komando

IPOH: Setiap kali kedengaran deruman bunyi enjin trak atau helikopter, ia bermakna penantian isteri terhadap suami yang pergi berjuang di dalam hutan demi tanah air, berakhir.

Namun, adakalanya bunyi itu juga ditakuti kerana kadangkala ia hanya membawa jasad suami tersayang yang rebah ketika dalam perjuangan atau kepulangan suami bukan dalam keadaan fizikal yang sempurna.

Berkongsi pengalaman sebagai isteri kepada seorang anggota VAT 69 Komando, Siti Patimah Harun, 63, berkata setiap kali suaminya terlibat dengan tugasan yang akan mengambil masa lama, hatinya tidak pernah tenang kerana ketika itu komunikasi adalah terhad.

"Suami tidak bagi tahu berapa lama akan pergi operasi, cuma kata pergi gerakan (banteras komunis), semasa itu pula tiada telefon, jadi kita tunggu sajalah bila dia akan balik.

"Kalau kita dengar bunyi enjin trak polis atau helikopter tidak kira masa, kita isteri-isteri komando ini cepat-cepat turun ke sekitar kawasan berek untuk tengok, sebab tahu suami masing-masing dah balik," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini

Siti Patimah berkata bagaimanapun, apabila datang helikopter dan ambulans tanpa siren, para isteri akan saling berpelukan dengan linangan air mata kerana tahu ia membawa jenazah suami, seorang daripada mereka.

Semasa itu, tiada telefon, jadi kita tunggu sajalah bila dia akan balik

Bercerita lebih lanjut kisah sebagai isteri komando, ibu kepada tiga anak berusia lingkungan 39 hingga 41 tahun itu berkata, paling tidak boleh dilupakan adalah ketika suaminya Baharuddin Ahmad Junan, 73, terlibat Operasi Bamboo II di sempadan Malaysia-Thailand pada 1978 bagi membasmi ancaman Parti Komunis Malaya.

Katanya ketika itu beliau yang berasal dari Baling, Kedah sedang sarat mengandung enam bulan anak keduanya sebelum diberitahu oleh suami, dia terlibat dalam operasi itu.

"Selepas seminggu suami pergi, ketika saya sedang suap anak sulung makan tengah hari di berek di Ipoh, datang seorang anggota polis beritahu suami saya cedera semasa bertugas dan dirawat di Hospital Pulau Pinang. Dia kata cedera sikit saja.

"Ketika sampai di hospital, saya amat terkejut tengok keadaan suami sangat teruk dengan 28 jahitan di kepala selain patah tangan kiri. Paling saya terkejut apabila suami seolah-olah hilang ingatan," katanya mengimbau kembali kecederaan yang dialami suaminya ketika menyediakan tempat pendaratan helikopter.

Baharuddin (dua, kanan) menunjukkan kesan tangan kirinya yang patah kepada rakan-rakannya, ketika terlibat Operasi Bamboo II di sempadan Malaysia-Thailand pada 1978, semasa ditemu bual di kediamannya di Tambun. --fotoBERNAMA

Menurut Siti Patimah, walaupun pernah berdepan dengan situasi yang dianggapnya tragis dalam kehidupan, namun ia tidak pernah membuatnya melarang suami daripada terus berjuang kerana sedar ia adalah untuk anak cucu sendiri pada masa akan datang.

Bagi Siti Hanipah Omar, 59, pula menjadi isteri kepada seorang komando lebih-lebih lagi semasa zaman komunis memerlukan kekuatan dan kecekalan diri untuk menghadapi sebarang situasi pada bila-bila masa.

Saya menangis siang dan malam kerana tiada siapa-siapa di sini

Katanya ketika perkahwinan beliau baru mencecah usia seminggu, suaminya Basrah Jali terlibat dalam operasi selama tiga minggu iaitu pada 1982.

"Saya menangis siang dan malam kerana tiada siapa-siapa di sini disebabkan saya berasal dari Dengkil, Selangor dan selepas tiga hari kahwin pindah ke Tanjung Rambutan. Suami pesan jaga diri dan beritahu dia tidak tahu balik ke tak balik walaupun kata tiga minggu," katanya.

Siti Hanipah berkata paling menyedihkan apabila wang yang ditinggalkan oleh suami telah habis atau ketika itu diri tidak sihat, namun semua itu tidak pernah membuatnya menghalang suami daripada terus melaksanakan tugas.

Sementara itu, Mastura Ramly, 66, dari Melaka berkata suaminya Abd Ghani Mahmood yang juga anggota VAT 69 Komando kerap terlibat dalam operasi menghapuskan komunis dan disebabkan itu hubungan dengan para isteri anggota yang lain sangat erat.

"Kita masing-masing tahu suami pergi bertugas lama, maka yang tinggal terdekat dengan kita adalah jiran. Susah senang merekalah tempat kita mengadu," katanya.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.