Dapatkan bahan rujukan kemerdekaan di Perpustakaan Negara

Diposting pada

Dapatkan bahan rujukan kemerdekaan di Perpustakaan Negara

Merdeka

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti yang ingin membuat kajian mengenai sejarah kemerdekaan tanah air disaran ke Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi mendapatkan maklumat tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah PNM Siti Aishah Sheikh Kadir berkata PNM menyediakan bahan rujukan dari sebelum zaman kemerdekaan dan pengunjung boleh mendapatkan rujukan tersebut dalam dua bentuk iaitu cetakan buku fizikal dan digital.

"Pelajar sekolah dan universiti boleh datang ke Perpustakaan Negara bagi mendapatkan koleksi sumber rujukan kemerdekaan bukan saja dalam bentuk buku fizikal malah juga dalam bentuk E-book, E-Majalah dan E-Surat khabar dari zaman sebelum kemerdekaan hingga kini," katanya selepas Program Semarak Merdeka di Auditorium PNM, di sini hari ini.

Tambahnya, PNM mengadakan program ini setiap tahun bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda supaya lebih menghargai sejarah serta mendalami nilai-nilai murni yang dicapai sebelum kemerdekaan.

"Memang peranan kami untuk menyimpan koleksi terbitan bercetak atau digital yang berkaitan dengan Malaysia yang kami panggil 'Malaysiana' sebagai warisan intelek negara yang kami pulihara di PNM sebelum kemerdekaan sehingga kini," katanya.

Selain itu, beliau berkata mereka yang hadir ke PNM untuk menimba ilmu pengetahuan mengenai kemerdekaan bukan sahaja dapat menambah pengetahuan malah turut dapat merasai erti kemerdekaan sebenar.

"Kita adakan program ini supaya hadirin yang datang atau sesiapa sahaja tahu bahawa melalui pembacaan kalau kita baca dan hayati apa yang orang dulu buat kita akan lebih tahu erti kemerdekaan sebenar," katanya.

Program santai itu turut mengadakan slot 'Sembang Merdeka' bersama sasterawan Profesor Madya Dr Lim Swee Tin dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Mohd Fitri Shuib.

Sementara itu, beliau berkata program PNM kali ini juga membawa kelainan dengan menampilkan persembahan deklamasi puisi merdeka lapan bahasa bertajuk '31 Ogos Datang Lagi' yang disampaikan dalam bahasa Melayu, Melanau, Mandarin, Tamil, Kadazan Dusun, Iban, Orang Asli dan Kayan oleh kakitangan Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara PNM.

Auditorium PNM hari ini meriah dengan kehadiran 350 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Jalan Fletcher, Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa, Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) dan banyak lagi.

PNM berharap program ini berupaya mengajak masyarakat untuk menghargai sejarah dan mengukuhkan nilai-nilai murni serta memantapkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian budaya rakyat Malaysia yang sudah sedia terjalin sejak awal kemerdekaan dahulu.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.