Cukai minuman bergula wajar demi kesihatan

Diposting pada

Cukai minuman bergula wajar demi kesihatan

Cukai minuman bergula wajar demi kesihatan

KUALA LUMPUR: “Tak boleh buat berita kalau tak minum air berkarbonat?” soal saya beberapa kali selepas mendengar cerita seorang rakan wartawan, Noraina Hashim, 28, ketika bertemu di sebuah kafe di Ampang baru-baru ini. 

Agak pelik sebenarnya kerana hampir 10 tahun dalam industri media, saya belum pernah mendengar mana-mana wartawan sama ada dikenali mahupun sebaliknya, yang ketagihan minuman berkarbonat sehingga sedemikian rupa. 

Biasanya, kebanyakan kami cenderung untuk mengunyah kerepek, asam, gula-gula getah atau minum kopi bagi mendapatkan ilham untuk menyiapkan tugasan. 

Namun begitu, kisah yang diberitahu Noraina mengenai tabiat rakan sepejabatnya itu membuatkan saya betul-betul terkejut sehingga tergamam seketika. 

Menurut beliau, rakannya yang dikenali sebagai Hadi selalunya akan jadi tidak tentu arah sehinggakan tidak boleh berfikir untuk menyiapkan sesuatu berita sekiranya air bergas tidak ada di atas mejanya.  

"Memang sudah jadi tabiat Hadi sejak bekerja sebagai wartawan. Sambil minum, bila dia menghadap komputer. Biasanya ada bertin-tin air berkarbonat di atas mejanya, tidak kisahlah apa perisa pun.

"Kadang-kadang sampai tiga hingga empat tin untuk siapkan satu story. Bayangkan, kalau perlu siapkan dua atau tiga story, agak-agaknya berapa banyak dia perlukan minuman yang kaya kandungan gula itu dalam sehari,” katanya. 

Bagaimanapun, sesuatu yang manis tidak akan jadi nikmat selama-selamanya dan itulah yang berlaku kepada Hadi apabila selera negatifnya itu akhirnya membawa padah setelah disahkan menghidap penyakit diabetes. 

“Dia masih muda, kalau tak silap dalam usia 30-an tapi dah kena penyakit kencing manis. Berbulan-bulan dia tidak datang ke pejabat akibat komplikasi penyakitnya itu. 

“Sekembalinya ke pejabat, aku tengok dia jauh berbeza. Dulu berisi sekarang dah kurus, mungkin dia jaga pemakanan selepas terkena penyakit itu,” katanya.  

Menghidap penyakit diabetes ketika usia masih muda bermakna penghidap boleh dikatakan terpaksa menanggung penyakit itu sehingga ke akhir hayat, kerana diabetes sukar disembuhkan. 

Bayangkan, dalam usia masih muda sudah terpaksa mengambil ubat diabetes untuk seumur hidup, pada masa sama perlu mengawal pemakanan bagi mengelak berlakunya komplikasi penyakit tersebut seperti kegagalan buah pinggang, buta, penyakit jantung dan sebagainya.

Pastinya, keadaan sebegitu sedikit sebanyak akan menyukarkan selain menjejaskan produktiviti pekerjaan si penghidap.

Bagi Noraina amat wajar kerajaan melaksanakan cukai ke atas minuman bergula, mulai 1 Julai lepas bagi mengalakkan rakyat mengurangkan pengambilan air manis dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat. 

Pada 2 Nov 2018, Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 dipetik berkata kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum. 

Ia melibatkan minuman mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 milimeter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 milimeter. 

Bagaimanapun, pelaksanaan itu yang mendapat sokongan padu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesejahteraan kesihatan rakyat itu, tidak terkecuali daripada mendapat tentangan segelintir pihak. 

Mempersoalkan kewajaran pelaksanaannya dapat menangani masalah diabetes dalam kalangan masyarakat, ada golongan tertentu mempertikaikan bahawa cukai berkenaan tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.

Ini memandangkan orang ramai akan beralih kepada minuman manis yang dibancuh seperti teh tarik dan sebagainya. Cukai itu tidak melibatkan minuman yang dibancuh yang dihidangkan di premis makanan seperti kedai mamak, warung mahupun restoran. 

“Sejak kes Hadi dan ayah aku pula baru sembuh daripada strok akibat kencing manis, memang aku takut sangat nak minum air manis. Ayah aku penggemar tegar minuman tiga dalam satu tetapi sekarang dah berhenti sejak kena penyakit itu.

“Aku minum juga air tiga dalam satu tapi tidak selalulah. Tipulah kalau kata tak minum langsung,” kata Noraina. 

Saya tidak menafikan bahawa pelaksanaan cukai itu bukanlah satu-satunya solusi untuk mengurangkan jumlah pesakit diabetes negara kerana permasalahan itu memerlukan usaha penyelesaian secara holistik, namun sekurang-kurangnya kerajaan mengambil langkah positif. 

Kerajaan begitu fokus mahu memerangi diabetes iaitu antara salah satu Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), memandangkan jumlah penghidapnya semakin meningkat saban tahun. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik berkata pada Mac lalu bahawa kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang merupakan kadar tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia. 

Malah, sejumlah tujuh juta orang dewasa, sama ada didiagnosis atau tidak, dianggarkan akan terjejas akibat diabetes di Malaysia menjelang 2025, suatu trend membimbangkan yang akan menyaksikan kelaziman diabetes iaitu 31.3 peratus dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas. 

Dengan jumlah sedemikian rupa, pastinya wajar bagi kerajaan mengambil langkah serius memerangi penyakit itu, berikutan impak diabetes terhadap negara, masyarakat, keluarga serta individu sangat besar dan membebankan. 

Malah, kalau kita lihat situasi hospital kerajaan pun sudah semakin ketara kesesakannya berikutan orang ramai memilih untuk mendapatkan rawatan di sana berbanding pusat perubatan swasta yang tinggi kos perubatannya.  

Statistik klinik kesihatan kerajaan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja menunjukkan terdapatnya 33,000 pesakit diabetes di kawasan berkenaan.

Semestinya, itu akan meningkatkan pembelanjaan kerajaan. Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan RM29 bilion dalam Belanjawan 2019 – yang tertinggi diterima sepanjang sejarah belanjawan negara – namun jumlah itu belum dapat menampung keperluan pesakit sekiranya masih ramai tidak ambil peduli aspek kesihatan. 

Disebabkan itulah, KKM sangat memberi perhatian kepada pendekatan bersifatkan ‘pencegahan berbanding penyembuhan’ dan cukai minuman bergula itu dilihat antara satu strategi selain inisiatif lain yang diperkenalkan sebelum itu. 

Lagipun, cukai itu tidak hanya dilaksanakan di Malaysia tetapi beberapa negara lain juga melaksanakannya dan rekod mendapati langkah itu berjaya mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan masyarakat. 

Mexico adalah antara negara pertama di dunia memperkenalkan cukai minuman bergula pada 2014 dan kajian mendapati kenaikan 10 hingga 12 peratus harga menyebabkan pengambilannya berkurangan lebih tinggi berbanding cukai tembakau. 

Justeru, sekiranya langkah itu untuk kebaikan masa depan bersama, mengapa masih ada yang sukar menyahutnya?

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis).

— BERNAMA

 

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.