Carcosa Seri Negara, warisan yang kian suram dimamah usia

Diposting pada

Carcosa Seri Negara, warisan yang kian suram dimamah usia

Carcosa Seri Negara, warisan yang kian suram dimamah usia

PAKAR sejarah mencadangkan kerajaan memulihara dan membaik pulih rumah agam bersejarah, Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, bangunan itu sangat penting kerana ia merupakan salah satu sejarah dan harus dijadikan warisan negara untuk generasi akan datang.

“Sebagai satu warisan sejarah, dua bangunan itu turut menyaksikan banyak peristiwa penting. Ia harus dijaga oleh kerajaan,” katanya.

Carcosa dipercayai berasal daripada bahasa Itali bermaksud 'tempat amat disayangi' yang dibina Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Sir Frank Swettenham.

Ramlah (kiri), Mohd Samsudin
Ia dijadikan kediaman rasmi beliau dan Carcosa yang dibina pada 1896 dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada 1987. Ia pernah menjadi salah satu hotel utama di Kuala Lumpur.

Carcosa adalah sebuah banglo mewah yang telah berusia lebih 100 tahun manakala King’s House yang bersebelahan dengannya merupakan kediaman tetamu kenamaan suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, kini Carcosa Seri Negara yang dipercayai bernilai lebih RM1 bilion itu dilaporkan terbiar dan rumah agam itu semakin uzur dimamah usia.

Ramlah berkata, Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza. Seri Negara yang dahulu dikenali sebagai King’s House pernah menjadi tempat persidangan Raja-Raja Melayu untuk menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Keratan akhbar
“Perjanjian itu juga menyebabkan kita membentuk kerajaan Persekutuan yang diguna pakai sehingga kini,” katanya.

Tegas Ramlah, Carcosa Seri Negara mempunyai nilai sejarah dan ia wajar dihebahkan kepada orang ramai.

“Bangunan tersebut juga perlu dikekalkan dan sejarahnya diceritakan kepada orang awam supaya mereka tahu kepentingan kewujudan Carcosa dan Seri Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

“Kita perlu kekalkan seni bina dan struktur bangunan itu, ia boleh dijadikan tempat memorial seperti Memorial Tun Abdul Razak atau sebagai muzium,” katanya.

 Laporan berita British mengembalikan Carcosa kepada malaysia menjadi berita muka depan Mingguan Malaysia pada tahun 1984.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Prof Madya Mohd Samsudin berkata, selepas kemerdekaan terdapat desakan daripada rakyat supaya bukit dan bangunan Carcosa yang menjadi milik British diserahkan kembali kepada kerajaan Malaysia demi ‘maruah negara’.

Kata Mohd, kerajaan Britain bersetuju menyerahkannya semula pada tahun 1984. Ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri telah menerima kembali bagi pihak kerajaan Malaysia.

Menurutnya, Carcosa hakikatnya menjadi saksi penting pelbagai sejarah negara.

“Antaranya sebelum kemerdekaan pada tahun 1946, Harold MacMichael yang dihantar oleh kerajaan British untuk menjayakan rancangan Malayan Union telah menjadikan bangunan ini sebagai kediaman dan bilik gerakan rancangan Malayan Union.

Laungan "Merdeka" berkumandang buat julung kalinya.
“Bangunan ini amat penting kepada sejarah dan warisan negara. Dari segi sejarah ia merupakan lambang perjuangan negara ke arah mencapai kemerdekaan apabila banyak peristiwa penting sejarah berlaku di sana,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd yang juga Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, antara usaha yang boleh dilakukan untuk berkongsi sejarah Carcosa Seri Negara adalah dengan menjadikan ia sebagai sebuah kawasan pelancongan yang dibangunkan dengan menggalakkan golongan muda dan pelajar menjalankan aktiviti di lokasi bersejarah tersebut.

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.