Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu sentimen global semakin baik

Diposting pada

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu sentimen global semakin baik

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu sentimen global semakin baik

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bingkas semula untuk dibuka lebih tinggi hari ini, menjejaki kenaikan semalaman indeks global susulan data terbaru menunjukkan belian runcit di Amerika Syarikat (AS) kekal dalam kedudukan positif.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.09 mata kepada 1,596.68, selepas menambah 1.67 semasa urus niaga dibuka daripada 1,594.59 semasa ditutup semalam.

Kedudukan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 130 berbanding 63, manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,599 tidak diniagakan dan 14 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 81.29 juta unit bernilai RM40.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, dengan ekuiti global terus bertambah baik, sukar untuk mengabaikan aspek positifnya dan ekuiti Malaysia sudah berada dalam kedudukan untuk pemulihan jangka pendek.

"Walaupun kami fikir penambahbaikan dalam persekitaran pasaran global dapat membantu pemulihan tertangguh, pemulihan boleh diukur berdasarkan kekurangan dorongan baharu untuk belian," katanya dalam nota ekuiti hari ini.

Ia juga berkata bahawa keadaan pasaran semasa kini berubah sedikit daripada keadaan berhati-hatidisebabkan pertikaian perdagangan yang berterusan dan kebimbangan semakin meningkat terhadap ekonomi global yang perlahan, kepada momentum lebih tenang.

"Setakat ini, paras 1,600 mata akan menjadi halangan segera, diikuti paras 1,610Paras 1,590 masih merupakan sokongan jangka pendek, diikuti oleh paras 1,580, "katanya.

Sementara itu, penganalisis lain berpendapat pasaran hampir pasti bahawa Rizab Persekutuan AS akan sekali lagi mengurangkan kadar faedah selepas mesyuarat semalam, dengan ramai faham bahawa penurunan kadar bertujuan untuk meningkatkan lagi ekonomi ditengah-tengah persekitaran global yang mencabar.

"Pasaran dijangka melihat langkah ini secara positif, ditambah pula dengan data belian runcit yang lebih baik, yang menunjukkan pasaran tidak akan jatuh lebih teruk lagi disebabkan ketidaktentuan global," katanya kepada Bernama.

Bagi indeks peringkat global, Dow Jones Industrial Average naik 0.93 peratus kepada 26,202.73, Nikkei Jepun meningkat 0.3 peratus 20,680.15 dan Hang Seng Hong Kong menokok 0.15 peratus kepada 26,270.04.

Saham-saham wajaran tinggi perbankan mencatatkan kenaikan hari ini selepas menyusut semalam.

Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat dua sen kepada RM8.55 dan RM20.76 manakala AMMB dan CIMB Group masing-masing turun satu sen kepada RM3.91 dan RM5.08.

Bagi saham paling aktif, Jaks naik 4.5 sen kepada 86.5 sen, Berjaya Land dan Sealink masing-masing menokok setengah sen kepada 23 sen dan 31.5 sen, manakala UWC naik 5 sen kepada RM1.41.

FBM Ace naik 7.03 mata kepada 4,613.19, FBM 70 meningkat 2.2 mata kepada 14,157.94, Indeks FBM Emas meningkat 11.96 mata kepada 11,314.35, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 10.43 mata kepada 11,844.13 dan Indeks FBMT 100 naik 11.60 mata kepada 11,147.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 14.28 mata kepada 15,526.44, Indeks Perladangan turun 1.93 mata kepada 6,748.84, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.26 mata kepada 149.90.

— BERNAMA

sumber :astroawani

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.